Tradisi Munafiq

30 Syaaban 1431H
Peristiwa sewaktu perang mulut oleh rakan sekerja petang tadi, benar-benar mengganggu minda. Meskipun esok umat Islam bakal menyambut 1 Ramadan, ianya benar-benar mengejutkan. Apapun, Julia tidak meluahkan hal itu. Dia cuba fokus kepada persiapan menyambut Ramadan al-Mubarak.
1 Ramadan 1431H
Whatsapp diterima bertalu-talu. Itupun setelah Pengurus menghubungi Julia. Sepanjang komunikasi, Julia memilih untuk menjadi pendengar luahan rasanya. Luahan yang serius itu, ditadah dengan berlapang dada. Julia memujuk hati untuk sabar dan bersangka baik.
“Tuan Imran, usahlah risau. Kita berada di bulan yang terbaik dari 1000 bulan. Insya-Allah, tidak ada apa-apa yang akan berlaku,” Julia cuba meyakinkan Pengurusnya.
“Julia kenal Tuan Kamil. Dia seorang yang boleh dipercayai. Tidak mungkin dia tergamak melakukan perkara yang bukan-bukan.”
“Okaylah. Saya minta maaf kerana Julia terpaksa mendengar luahan saya. Selepas ini, saya akan kirimkan Whatsapp sebagai bukti.”
Astaghfirullah wa atu builaih. Kiriman Whatsapp dari Pengurus menambahkan lagi kecelaruan saya. Sangka baik tentang Tuan Kamil meleset. Besar sungguh ujian ini. Julia perlu tenang. Bibirnya banyak beristighfar. Al-Quran dan terjemahan dibaca bagi merawat hatinya.
2 Ramadan 1431H
Isunya tidaklah sebesar mana. Namun, gara-gara salah faham, hasad dengki dan mengadu domba, makin galak mereka memuntahkan kata-kata nista. Akur dengan Ramadan, Julia cuba mencari penyelesaian terbaik untuk diri, Tuan Imran dan orang yang terlibat sama.
Usai iftar, Julia bersiap-siap untuk menunaikan solat Isyak dan solat sunat Tarawikh. Julia cuba mengawal emosi. Dia sedikit terganggu setelah membaca kesemua Whatsapp tadi. Syukurlah, solat berjemaah telah melupakan apa yang bermain di minda Julia.
Sewaktu Julia cuba melelapkan mata, tiba-tiba telefon bimbit berbunyi. Bertubi-tubi Whatsapp diterima. Julia membaca dengan teliti isi kandungannya. Kali ini lebih serius. Hati Julia berdebar dan panggilan dijawab dengan tenang.
“Ya Tuan Imran. Julia faham dan sudah membacanya.”
“Maaf Julia kerana awak terlibat dalam kes ini. Saya kini berada di balai. Urusan pun telah selesai. Esok saya bercuti kecemasan separuh hari.”
“Baiklah Tuan Imran. Tuan okay ke tidak?”
“Saya terpaksa berakhir di balai polis kerana ancaman-ancaman Whatsapp itu. Mereka seolah-olah gangster. Saya seorang. Demi keselamatan, saya buat laporan polis.”
“Allahuakbar! Tuan Imran seorangkah? Dahsyatnya, hingga mengancam nyawa.”
“Tentulah. Julia, usah kecoh-kecoh. Tolong rahsiakan hal ini. Esok, Julia buat seperti tidak ada apa-apa yang berlaku. Saya enggan memanjang-manjangkan isu ini.”
“Insya-Allah. Tuan Imran jaga diri. Selamat berpuasa.”
Julia menarik nafas lega. Syukurlah, laporan polis dibuat. Ada benarnya tindakan Pengurus. Jika tidak, pasti perkara yang tidak diingini berlaku. Masya-Allah. Apa yang sudah terjadi?
3 Ramadan 1431H
Julia mengatur langkah dengan penuh yakin. Di dalam hati, tidak putus-putus memohon agar Allah memberi kekuatan. Aura hari ke-3 Ramadan kali ini, sungguh berbeza. Pada hari itu, emosi Julia bercampur-baur.
Rakan sekerja sedikit kalut kerana kelibat Pengurus masih tidak kelihatan. Julia masih berbuat biasa kerana teringatkan janji dengan Tuan Imran. Kesibukan Julia dengan kerjanya, telah membuatkan dirinya lupa yang dirinya turut terancam. Pelbagai kerja yang perlu dilunaskan sebelum mesyuarat ‘Job Evaluation’ diadakan secara bulanan.
“Tuan Imran masih tidak sampai. Ke mana ya? Whatsapp tidak, telefon pun tidak.”
Julia tidak melayan dan cuba berbuat sibuk. Mujurlah, Rufirah tidak mengesyaki apa-apa. Julia memilih untuk berdiam diri tanpa menjelaskan apa-apa. Mereka yang terlibat dalam kes ini, turut berdiam diri. Julia risau. Dia abaikan sahaja.
            Setibanya Tuan Imran, beliau mengarahkan Rufirah menghantar kalendar mesyuarat tergempar. Jam 2.30 petang, unit kami berkumpul. Rakan sekerja tidak mengesyaki apa-apa. Masing-masing memilih untuk tidak bersuara kerana menghormati permintaan Pengurus.
“Tuan Imran, kenapa cuti kecemasan? Ada hal apa ya?”
            “Julia, kawan baik awak sendiri pun tidak tahu apa-apa berita? Sampai hati Julia.”
Julia hanya membalas dengan senyuman. Rakan seunit memandang-mandang antara satu sama lain kehairanan. Julia masih membisu tanpa bicara.
            Mujurlah Tuan Imran selesa untuk tidak menjawab. Beliau akan maklumkan kemudian. Baginya ini bukan waktu yang sesuai. Demi Ramadan. Sebaliknya, beliau bertanyakan status kerja kepada setiap orang.
Julia gembira kerana Tuan Imran selamat. Pekerja yang mengugut beliau duduk berhadapan dengan Julia. Selepas peristiwa itu, Julia dan Pengurus lebih berwaspada. Kami lebih selesa berbicara soal kerja.
Tiada lagi bicara soal peribadi. Ini berita gembira buat Julia. Tugasnya makin fokus. Sesekali bergurau, itu rutin biasa.
Julia bersyukur kerana berpegang kepada janji Pengurusnya. Meskipun Julia diasak dengan pelbagai soalan dari Rufirah, Julia berjaya mengelak. Mahu atau tidak, ini untuk mengelak dari  menyinggung hati yang lain. Biarlah rahsia itu, tidak keluar dari mulut Julia.
Apapun, universiti Ramadan banyak melatih Julia. Dia berazam untuk berusaha, agar Ramadan kali ini lebih baik dari sebelumnya. Walaupun pahit, Julia belajar menjadi seorang yang berpegang pada janji, tabah dan bersangka baik. Yang pasti, Julia lebih berhati-hati.
Sabarlah. Kebenaran pasti mengalahkan kebatilan. Julia perlu tabah menghadapi kerenah orang yang lebih berpangkat darinya. Melapor diri dengan Pengurus yang sama, harapnya mengubah persepsi sebelum ini.
Jauh di sudut hati, Julia berdoa agar pekerja-pekerja yang terlibat diberikan hidayah. Moga ampunan Ilahi mengatasi dendam mereka.
HAK CIPTA TERPELIHARA 2015 @ QALAM ARDINI.


Share on Google Plus

About Unknown

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment