“Hendaklah berlaku adil kerana keadilan
itu lebih hampir kepada taqwa.”
[Terjemahan
al-Ma’idah ayat 8]
Suatu ketika, Baqir mengajak para sahabat berhimpun untuk
mengenali mereka. Baqir bertanya padangan para sahabat. Apa yang paling mereka
impikan di syarikat ini.
“Muhsin mengangankan supaya pejabat sendiri dipenuhi dengan
emas yang bakal dibelanjakan pada jalan Allah.”
Sahabat yang lain bersuara,
“Fateh impikan sebuah pejabat yang dihiasi dengan intan
permata yang bakal disedekahkan ke jalan Allah.”
Kemudian, seorang sahabat menyambung,
“Uwais impikan sebuah pejabat yang dihiasi dengan solat
berjemaah dan majlis ilmu.”
Setelah itu, Baqir pula menyatakan hasrat dan impiannya.
“Masya-Allah. Bagi Baqir, jika diizinkan Allah, syarikat
perlukan pekerja yang mirip seperti Muaz Bin Jabal, Abu Ubaidah al-Jarrah atau
Salim Maula Abu Huzaifah. Selain mendaulatkan kalimah Tauhid, mereka adalah ikon
terhebat hasil didikan langsung dari Nabi s.a.w.”
“Siapakah mereka Baqir? Apakah yang boleh dimanfaatkan buat
syarikat kita?”
“Seingat Baqir, Muaz Bin Jabal ini telah Nabi iktiraf sebagai
seorang yang paling mengetahui soal halal haram. Abu Ubaidah al-Jarrah pula
pernah memimpin perang yang dianggotai oleh khalifah Abu Bakar as-Siddiq dan
Umar al-Khattab. Nabi s.a.w. nobatkan sebagai seorang yang sangat dipercayai.
Manakala Salim Maula Abu Huzaifah sangat berani menyatakan kebenaran secara
berterus-terang. Beliau pernah menegur secara berdepan kepada khalifah dalam
suatu misi dakwah kerana mengambil tindakan yang kurang tepat. Setelah ditegur,
beliau rasa lega kerana tidak mengkhianati diri dengan hanya berdiam diri.”
“Apakah yang boleh kita ambil pengajaran dari para ikon terhebat
itu Baqir?” soal Fateh.
“Jika difikirkan,
ada kerjasama jitu yang Baqir perlukan di syarikat kita. Asasnya, fahami akidah,
perkasa matlamat dan semarak sifat mahmudah. Hayati tugas hakiki hamba dan khalifah.
Insya-Allah, pasti mereka hebat duniawi dan ukhrawi.”
“Allahuakbar! Apa
yang boleh diadaptasi buat syarikat kita Baqir?”
“Kita perlukan pekerja Mukmin profesional.
Bangunkan karier mereka dengan menjelaskan tujuan kita dicptakan. Dari satu
aspek, mereka memiliki karektor keluhuran budi, kelakuan baik dan kejujuran
mutlak.”
“Tidakkah mereka
tahu soal itu?”
“Tahu itu satu
hal. Faham dan yakin juga satu hal. Aplikasi pun satu hal.”
“Kita perkemaskan
misi agar semua pekerja berkorban tanpa syarat. Akui ketinggian pakar mengikut
bidang masing-masing. Hargai komitmen bagi menzahirkan terima kasih syarikat
kepada yang layak.”
“Bagaimana kita
bermula?”
“Begini, Baqir
bercadang kita bangunkan modul latihan untuk jangka masa pendek dan panjang.
Kita kenal pasti kelebihan dan kekurangan pekerja semua. Buat analisa bagi menambah
baik syarikat ini.”
“Masya-Allah!
Kemudian, apakah tindakan seterusnya Baqir? Fateh sedia menjadi tenaga pengajar
bagi menjimatkan kos syarikat. Waktu analisa, jika ada beberapa pekerja yang
memiliki ciri-ciri ikon para sahabat Nabi s.a.w. tadi, kita gilap menjadi
pemimpin terbilang.”
“Insya-Allah,
Uwais akan sediakan bahan bacaan seperti poster. Kita anjurkan aktiviti
berkaitan intelektual, spiritual dan fizikal. Biarlah mantap barisan
kepimpinan. Kita yakin, sistem yang berasaskan tauhid dan patuh syariah sahaja
yang bakal mewarisi jihad murni ini.”
“Kini, jelaslah
Islam meraikan kehebatan pekerja Mukmin. Selagi akidah dihayati, keberkesanan pelan
ini bakal meraih potensi persis seperti Muaz
Bin Jabal, Abu Ubaidah al-Jarrah atau Salim Maula Abu Huzaifah. Pakej pekerja
sebegini meskipun mahal, namun nilai mereka adalah hasil jangka panjang.”
“Muhsin perlukan
pasukan kerja yang jitu. Tidakkah ianya mustahil Baqir, sedangkan kita ada
pelbagai kaum?”
“Surau bakal dinaik
taraf untuk mewajibkan pekerja solat fardu berjemaah. Bagi yang bukan beragama
Islam, pendidikan moral diwajibkan. Uwais akan melantik pekerja beliau bagi
menjadi tenaga pengajar. Jemput mereka ke jamuan perasmian.”
“Apa lagi yang Baqir
perlukan? Insya-Allah, Fateh sokong.”
“Buat pengetahuan
para sahabat yang mulia, Baqir telah menyiapkan kertas kerja untuk dibincangkan
di pihak pengurusan. Terima kasih atas buah fikiran dan kerjasama semua. Baqir
akan kemas kini berdasarkan bicara kita untuk memastikan ianya diluluskan.”
“Moga Allah
berkati kita semua dan permudahkan.” Kata Uwais sambil diaminkan oleh semua.
Dalam menjalankan
tugas seharian, kita perlu mengemaskini sistem akidah agar sentiasa berada di
landasan yang betul dan benar. Akidah yang mantap jika dihayati, dapat mengawal
tindak-tanduk manusia soal halal haram. Setelah itu, terbitlah tabiat hingga
lahirlah akhlak mulia seperti yang pernah di implimentasi oleh Nabi s.a.w. dan
para sahabat Baginda.
Kerja ini tidak boleh dilakukan oleh
individu. Ianya perlu diulang-ulang secara kerap. Sertakan panduan interaktif
dengan mengambil kira pelan jangka pendek dan panjang. Dengar suara semua
peringkat bagi memperkasa operasi syarikat.
Pelan pemulihan
tidak semestinya perlu dimulakan dengan merombak semua sistem operasi yang
telah sebati dan sedia ada. Hanya baiki peringkat demi peringkat menerusi
kajian. Selidiki punca masalah dan segera bertindak dengan rasional. Komunikasi
efektif juga berperanan.
Jika kita tidak
boleh ubah semua, setidak-tidaknya mulakan dengan sedikit tetapi istiqamah. Mengubah
manusia, perlu disedarkan menerusi soal akidah. Sistem kepercayaan akidahlah
dapat menyelesaikan punca masalah utama. Barulah manfaat dinikmati. Sama ada
syarikat, mahupun setiap lapisan pekerja.
HAK CIPTA TERPELIHARA 2015 @ QALAM ARDINI
0 comments:
Post a Comment