Sabar Profesional

“Mengapalah dia pilih kasih? Apa lagi yang tidak kena? Sudahnya, kita juga yang disalahkan.”
            “Yasir yang siang malam bertungkus-lumus siapkan kerja, sia-sia sahaja. Orang yang kuat bodek dan mengampu, itu yang naik pangkat.”
“Jika diadukan kepada pihak pengurusan, katanya melawan. Tak pasal-pasal, kita pula dilabel macam-macam. Tak bertamadun!”
Yasir meluahkan perasaannya yang telah lama terpendam. Kali ini, Yasir melepaskan tanpa memandang kiri dan kanan. Kemuncaknya, apabila Ketua Jabatan mengambil pekerja luar dengan tawaran gaji yang tidak mengikut polisi syarikat. Pekerja lama sepertinya, mula terasa hati dan prestasi kerja merosot dengan mendadak.
“Laa ila ha illallah. Istighfar Yasir. Ingat Allah. Kita ada agama sebagai panduan. Bukan ikut emosi.”
“Ini sudah melampau. Makin lama, makin menjadi-jadi.”
“Asam garam kerja Yasir. Semuanya itu tidak kekal. Bukankah sabar itu cahaya?”
“Setiap tahun, Penilaian Prestasi Kerja atau Key Performance Indicator (KPI) Yasir masih sama. Tiada beza. Syarikat hanya pandai menghabiskan wang. Suruhlah pekerja baru buat kerja lebih. Jawatan sama, tetapi gaji mereka lagi mahal.”
“Apa lagi yang Yasir tidak puas hati? Bukankah rezeki itu datang dari Allah?”
“Itu memang betul. Kenapa manusia tidak uruskan dengan betul? Ini realiti.”
“Tenanglah. Anak-anak Yasir semua berjaya melanjutkan pelajaran. Belanja keluarga, nampaknya mencukupi. Yasir perlu bersyukur.”
“Itu satu hal. Maknanya, kita pejam matalah?”
“Ujian ini bukan pilihan kita. Ketetapan Allah. Sabar dan doa. Usah sangka buruk. Mustahil syarikat melantik pekerja yang tidak dapat memberi manfaat. Insya-Allah, kepakaran mereka boleh kita bangunkan dengan pengalaman kita.”
“Muafakat membawa berkat. Boleh percayakah?”
“Tidak semua orang bekerja. Ramai mengambil pampasan. Graduan pun, ramai yang menganggur. Soal itu, kita serahkan kepada pihak atasan. Kita teruskan berkhidmat untuk agama, bangsa dan negara. Nilaian Allah itu yang kita cari. Bukan penghargaan manusia.”
“Sampai bila kita harus bersekongkol dengan mereka Syafiq?”
“Yasir, kita ada pelbagai teknik untuk menyedarkan mereka. Usah bermasam-muka dengan  pekerja baru. Ambil kesempatan untuk beri kerjasama. Beralah tidak semestinya kalah. Yasir cuba hadir mesyuarat jabatan. Belajar untuk berlapang dada dan optimis. Insya-Allah, sabar, sabar dan sabar.”
“Sabar sampai mereka pijak kepala kita? Begitukah?”
“Kisah orang yang sabar pasti berbalas Yasir. Yang rugi, tidak belajar untuk sabar. Nabi s.a.w. yang maksum pun pilih sabar. Cabaran Nabi s.a.w. lagi dahsyat. Nabi s.a.w. tidak serik dan tidak putus asa.”
“Itu Nabi s.a.w. Orangnya maksum. Kita ini pendosa.”
“Jika benar mencintai Nabi s.a.w., ikutlah Baginda. Solat dan munajat kepada-Nya. Nabi s.a.w. doakan kebaikan orang yang sakitkan hatinya. Akhlak itulah yang mencairkan hati manusia. Akhirnya, mereka bersyahadah dan mentauhidkan Allah.”
“Mana boleh gaji orang muda lebih banyak dari orang lama? Kelulusan tinggi, belum tentu ada pengalaman.”
“Kerja dengan orang muda, kita hormat mereka. Anggaplah mereka seperti anak-anak kita. Raikan kehadiran mereka. Pengalaman sedikit ini, kita alihkan kepada mereka. Bukankah kita disarankan untuk membantu dalam hal ketaqwaan?”
“Itu Yasir setuju. Pengurusan ada fikir macam itukah?”
“Kita yang tiada kuasa, zahirkan melalui tindakan. Lambat laun, pasti berhasil. Ini bukan kerja mudah, tetapi ianya bukanlah mustahil.”
            “Sabar dan berserah pun, bukan selesaikan masalah. Makin galak masalah adalah.”
“Apa kata masalah itu kita alihkan kepada mencipta ruang dan peluang? Bagaimana? Itu kena tanya hati.”
“Seingat Yasir, Allah telah mencukupkan rezeki kita tanpa kurang sedikit pun. Dia hanya beri apa yang kita perlu, bukan apa yang kita mahu.”
“Subhanallah! Memang benar Yasir.”
“Astaghfirullahal’azim. Yasir yang bersalah. Maafkan Yasir kerana teremosi.”
“Alhamdulillah, ingat Yasir. Apa yang Nabi s.a.w lalui lebih menghayat hati. Allah uji sedikit sahaja untuk memastikan iman kita itu palsu atau asli.”
Sabar Itu Tiada Had
            Sesungguhnya, sabar yang benar itu tiada had dan sempadan. Kita diajar sabar dalam tiga waktu getir. Waktu bila? Sabar terhadap ketaatan, sabar terhadap kemaksiatan dan sabar terhadap ketentuan seperti musibah. Jika benar iman kita, sabarlah dengan mendirikan solat.
“Wahai orang yang beriman, bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara kebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu (lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan).”
[Terjemahan Ali-‘Imran ayat 200]
Sabar dengan mentaati suruhan-Nya tidak pernah mengecewakan. Rasailah sendiri. Yang pasti, Allah dan Nabi s.a.w. tidak memungkiri janji. Kepahitan dan kepedihan sabar pasti berbalas kemanisan iman dengan 1001 hikmah menurut ilmu-Nya. 
HAK CIPTA TERPELIHARA 2015 @ QALAM ARDINI.


Share on Google Plus

About Unknown

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment