Muslimah Diva Di Mata-Nya


“Raihanah bercita-cita mahu menjadi seorang penulis. Maklumlah, minat membaca. Boleh kongsikan inspirasi dan aspirasi hati.”
“Juwita minat fesyen. Lagipun, nampak yakin bila berpakaian anggun dan bergaya.”
“Balqis minat memasak. Jika diizinkan ingin membuka cawangan di negara bukan Islam. Manalah tahu, moga air tangan ini menjadi asbab bukan Muslim jatuh cinta pada Islam.”
“Laailahaillallah. Kenapa susah payah bisnes di negara begitu?” soal Juwita.
“Orang kita gemar melancong. Agak sukar mendapatkan produk halal. Lagipun, belum cuba belum tahu,” terang Balqis.
“Wah! Nampaknya, nama Balqis disebut-sebut dan popular dari penulis dan pereka fesyen,” seloroh Raihanah.
 “Penulis dan pereka fesyen apa kurangnya? Entah-entah lebih popular dari Chef Balqis,” luah Balqis.
“Kalian ada idea, bagaimana kita boleh popular bersama?” Tanya Raihanah.
“Terus-terang Juwita katakan boleh. Penulis boleh berkolaberasi dengan chef dan pereka fesyen untuk menghasilkan buku,”
“Subhanallah. Kita sama-sama war-warkan di fesbuk dan blog.”
“Setuju. Balqis rasa, elok jika kita mulakan dari sekarang.”
“Jom kita realisasikan. Bina jaringan dan berikan informasi tentang produk kita.”
“Ayuh, kita mulakan apa yang ada di tangan kita dahulu.”  
Ada apa dengan Muslimah popular? Islam ada acuan yang meraikan fitrah sebegini. Semestinya ianya mententeramkan hati. Dimulai dengan kebaikan dan disudahi dengan kebahagiaan.
Apabila sebut soal popular, kita akan terbayang seorang Muslimah yang dikenali kerana pelbagai faktor. Antaranya, personaliti, bisnes, duta produk, novelis, program televisyen/radio atau artis. Secara tidak langsung, individu ini popular menerusi platform media cetak dan media elektronik.
Sebenarnya, tidak salah menjadi Muslimah popular selagi asasnya mentauhidkan Allah, gaya hidupnya bersyariat dan dihiasi dengan akhlak mulia. Jika inilah visi hidupnya, dirinya bukan sahaja dikasihi Pencipta. Malah, sentiasa memberi manfaat kepada masyarakat.
Kini, kehadiran Muslimah popular menjadi pencetus, khususnya golongan belia yang meminati dan mudah dijadikan ikutan. Ikon sebegini wajar diraikan, jika faedahnya membawa kebaikan ummah sejagat. Tahniah dan syabas kerana membawa hati belia ke arah makrifatullah.
Realitinya, popular bukan Tuhan. Popular adalah alat untuk mengabdikan diri kepada Allah Yang Esa. Popular itu suatu anugerah dan amanah yang perlu di tanggung di dunia dan di jawab di akhirat.
Luar biasanya popular ini, tidak sedikit pun mengabaikan peranan utama sebagai Muslimah. Dia sangat komited menjaga ibadah-ibadah yang wajib, membaca dan tadabbur al-Quran. Di waktu yang sama, lidahnya sentiasa dibasahi dengan zikir kepada Allah Taala.
“Ya Allah ya Tuhan, kami memohon kasih sayang Kamu, dan kasih orang yang mencintai Kamu, serta (kasihkan) amalan yang mendekatkan kami kepada cinta Kamu. Ya Allah ya Tuhan, jadikanlah kasih Kamu lebih kami sukai berbanding diri kami sendiri, dan ahli keluarga kami, dan daripada air yang sejuk.”
Ulamak mendidik Muslimah popular supaya menjadi orang yang bertaqwa. Jika tergelincir, segera bertaubat. Dirinya terdorong untuk berlaku adil. Setelah bertawakal, sibuk membuat kebaikan.
Muslimah popular sejati, gemar berjuang di jalan Allah. Misi hidupnya jelas iaitu memastikan dirinya beramal solehah semata-mata mengharapkan reda dan rahmat Allah. Ianya bukan mustahil, jika setiap hati Muslimah digilap dengan acuan Islam.
“Jika Allah mencintai seorang hamba, maka Dia memanggil Jibrail seraya berfirman, ‘Sesungguhnya Aku mencintai si polan, maka cintailah dia.’ Jibrail pun mencintainya, kemudian menyeru di langit, ‘Sesungguhnya Allah mencintai si polan, maka cintailah dia.’ Maka penduduk langit mencintainya, kemudian dia mendapat penerimaan di dunia.
Jika Allah membenci seorang hamba, maka Dia memanggil Jibrail seraya berfirman, ‘Sesungguhnya Aku membenci si polan, maka bencilah dia.’ Jibrail pun membencinya, kemudian menyeru di langit, ‘Sesungguhnya Allah membenci si polan, maka bencilah dia.’ Maka penduduk langit membencinya, kemudian dia dibenci di dunia.” (Bukhari dan Muslim)
Ketahuilah, Muslimah popular itu menjadi bermakna selagi Allah Taala sebagai matlamat. Mendarah daging sunnah Rasul sebagai gaya hidup. Bahkan, meneladani kehebatan akhlak dalam menuju syurga, destinasi abadi kita bersama.
Wallahua’lam.
 Sumber : AMSB | 2014


Share on Google Plus

About Unknown

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment