Infaq Bermaruah

“Bersuci separuh daripada iman. Alhamdulillah memenuhi mizan. Subhanallah dan Alhamdulillah kedua-duanya memenuhi ruangan langit dan bumi. Solat adalah nur. Sedekah adalah bukti. Sabar memberikan cahaya. Al-Quran boleh menjadi hujah bagi kamu (pembela) atau ke atas kamu (melaknat). Setiap manusia berusaha, maka dia menjual dirinya (sama ada kepada Allah dengan melakukan ketaatan atau kepada syaitan dan hawa nafsunya dengan dia melakukan maksiat dan kemurkaan Allah), maka ada yang membebaskannya (daripada kehinaan di dunia dan azab di akhirat) dan ada yang membinasakannya (dengan melakukan maksiat).”
[Imam Muslim]
 “Jabatan kita sedang giat adakan kutipan amal. Qusyairi kenal atau tidak insan yang perlukannya?”
“Saya ada terbaca di laman sosial.”
“Sebak, sekelip mata menjadi anak yatim piatu. Mujurlah, ibu saudara mereka sudi menjaga.”
“Itqan cadang untuk menaja pengajian abang dan kakaknya. Memandangkan usia mereka masih muda, ilmu agama adalah terbaik. Boleh jadi saham orang tuanya.”
“Seriuskah Itqan? Bagaimana dengan adik-adik yang lain?”
“Insya-Allah, akan ada rakyat Malaysia yang menyumbang. Apa yang penting bagi Itqan, berikan tawaran belajar.”
“Eloklah. Kita kenal pasti potensi atau bakat mereka.”
“Jika mereka cemerlang akademi, boleh pilih IPTA atau IPTS yang ada. Jika mereka minat kemahiran, negara kita juga ada tempat untuk mereka.”
“Ada juga segelintir pihak yang mengambil kesempatan atas isu ini. Mereka menyamar sebagai ahli keluarga dan sanak-saudara.”
“Hantarlah wakil dari jabatan kita. Ziarah seberapa kerap. Mereka perlukan ilmu dan kasih sayang. Uruskanlah keperluan mereka.”
“Ada benarnya Itqan. Kita wakafkan keperluan asas mereka.”
“Tunggu apa lagi? Jom kita mulakan sekarang.”
Jariah Untuk Digilap
“Tidak akan kecewa orang yang menginfakkan hartanya ke jalan Allah. Moga ianya mendatangkan keberkatan kepada kita semua Qusyairi.”
“Contohi Nabi s.a.w. Halimatus Saadiah, ibu susuannya yang gigih mengasuh dan membesarkan manusia maksum. Hasilnya, dihujani rezeki mencurah-curah.”
“Lebih hebat lagi, Nabi s.a.w. tidak malu bekerja sebagai pengembala kambing. Kehilangan ibu dan ayah tercinta, tidak melemahkan semangatnya. Nabi s.a.w. komited. Komitmen Nabi s.a.w.  mengurus bisnes bapa saudaranya, menambat hati ramai. Termasuk orang Islam dan bukan Islam. Pengalaman dan amanah itu, menggamit hati si hartawan dan rupawan, Saidatina Khadijah.”
“Belajarlah daripada kisah Nabi s.a.w. Ketiadaan insan bergelar ayah dan ibu, menjadikan Nabi s.a.w. seorang pakar, sabar, jujur, berani, gigih, cekal, tawaduk dan pelbagai personaliti mulia dan terpuji.”
“Walaupun berjaya dan kaya-raya, Nabi s.a.w. memilih hidup sederhana. Banyak mengabdikan diri kepada Tuhannya. Harta benda yang Nabi s.a.w. miliki, diinfakkan untuk umat tercinta. Begitulah kasih Nabi s.a.w. terhadap kita. Apakah yang menghalang kita untuk meneladani insan agung sepertinya?”
Begitu rancak perbualannya hingga Qusyairi kusyuk sambil mengangguk-angguk. Hampir menitiskan air mata kerana setiap kali membaca atau mendengar pasal Nabi s.a.w., luluh hati. Pengorbanan Nabi s.a.w. tiada pengganti. Cukupkah selawat di bibir kita? Sejauh manakah kita meneladani sunnah Nabi s.a.w.?
Dermawan Akhirat
Jika difikirkan, pintu kebajikan itu banyak. Syaratnya, faham, yakin, pilih dan amal. Semuanya itu ada nilai. Jaminan ini tiada kompromi. Bukan janji tinggal janji. Malah, tidak ada tarikh luput. Niatkan semata-mata kerana Allah. Qudwah hasanahnya, Rasulullah s.a.w.
Manfaatkanlah rezeki kurniaan Allah dengan mengagihkan rezeki kepada insan yang memerlukan. Biarlah usaha kita itu, sungguh-sungguh untuk manfaat bersama. Berilah tanpa syarat.
“Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh butir, pada tiap-tiap butir seratus biji. Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi sesiapa yang dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui.”
[Terjemahan al-Baqarah ayat 261]

Ketahuilah, akan ada hasutan dan bisikan seperti riak, ujub atau menunjuk-nunjuk, lebih baik abaikan. Teruskanlah memberi walaupun sedikit. Moga pemberian itu lama-kelamaan akan menggilap hati menjadi ikhlas.

HAK CIPTA TERPELIHARA 2015 @ QALAM ARDINI.


Share on Google Plus

About Unknown

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment