Akrab Demi Iman - Kalamullah

Para rasul dan nabi yang diutuskan kepada sesuatu kaum atau bangsa mempunyai syariat-Nya tersendiri. Ianya diwahyukan oleh Jibrail a.s. Tercatat di dalam lembaran kitab-kitab, sebelum turunnya al-Quran.
Realitinya, statistik sebenar bilangan kitab-kitab suci tidak diketahui. Ianya di dalam pengetahuan Allah. Apapun, kitab Allah itu wajib kita imani tanpa keraguan.
“Pada mulanya manusia itu adalah umat yang satu menurut agama Allah yang satu tetapi akhirnya mereka telah berselisih faham, maka Allah telah mengutuskan nabi-nabi sebagai pemberi khabar gembira dan pemberi amaran kepada yang engkar dengan khabar buruk yang akan ditimpa azab neraka dan Allah menurunkan bersama nabi-nabi itu kitab-kitab suci yang mempunyai keterangan-keterangan benar untuk menjalankan hukuman di antara manusia mengenai apa yang mereka pertikaikan.”
[Terjemahan al-Baqarah ayat 213]
Meminjam tulisan almarhum Ustaz Sulaiman Endut, buku Asas-Asas Fardu’ain, sejak Nabi Allah Adam a.s. sehingga Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam diutus, statistik kitab-kitab suci dianggarkan berjumlah 104 buah, 100 buah suhuf atau lembaran dan 4 buah kitab suci.
Kunci Kerjaya Berkat
“Faqih, setiap Isnin dan Khamis kita adakan kelas mengaji al-Quran.  Ini buku yang kami gunakan untuk rujukan.”
“Isnin dan Khamis saya ada hal. Apa kata Nasif gantikan?”
“Nasif baru sertainya tiga bulan lepas. Dia semakin mahir. Kelas tafsir pun ada. Jomlah.”
“Faqih tidak pandai mengaji. Nanti mengganggu rakan lain yang mahir.”
“Tidak mengapa. Pengajian ini ada fasa-fasanya. Ambillah buku-buku ini. Soal yuran, usah risau.”
“Masya-Allah. Malulah Faqih. Ini bukan soal yuran. Bilakah kelas tafsir pula Nasif? ”
“Selasa dan Rabu.”
“Lama kami mencari guru. Biasalah, asyik beralasan dan bertangguh. Syukur, sebab Aisy yang kenalkan. Okay, kita jumpa minggu depan.”
Celik al-Quran
“Al-Quran ini adalah pelengkap kitabullah yang lain seperti Taurat, Zabur dan Injil. Kita wajib beriman dengan kitab Allah.”
“Ustaz, kita mengimaninya tetapi berdosakah kita jika tidak memahami isi kandungannya?”
“Subhanallah. Tidak berdosa Anas. Hanya tidak sempurna. Katalah Imran ditawarkan satu jawatan. Adakah Imran terus bersetuju tanpa memahami tugas, peranan, kebajikan, bilangan cuti atau bayaran gajinya?”
“Begitulah analoginya. Lebih-lebih lagi dengan al-Quran. Ianya juga syafaat dan asbab hidayah. Mukjizat al-Quran, rahmat bagi manusia hingga kiamat.”
“Apakah ilmu akademik dan kemahiran ada dalam al-Quran ustaz?”
“Kitabullah ini sumber kemuliaan dan kehebatan. Ada ilmu sains seperti astronomi, geologi, fisiologi, biologi dan banyak lagi. Ada ilmu psikologi, sosial, ekonomi dan politik. Hebatnya al-Quran, mendidik kita dari aspek intelektual, spiritual dan akhlak.”
            “Tidakkah cukup kita membaca atau mendengar al-Quran tanpa kita sendiri yang hayatinya?”
“Itu lebih baik daripada tidak membaca atau mendengar. Yang pasti, mukjizat al-Quran ini membawa manusia untuk mengenal Tuhan. Ajaibnya, ia telah banyak melahirkan cendikiawan dan ilmuwan hebat. Kajian dan buku-buku mereka, masih dijadikan rujukan. Inilah hasil tarbiyah dan ‘air tangan’ oleh Nabi s.a.w. serta ahli keluarga, dan para sahabat Nabi s.a.w.”
            “Siapakah mereka ustaz? Tentu mereka seorang insan yang luar biasa.”
“Contohnya Az-Zahrawi sebagai Bapa Ahli Bedah, Ibnu Sina sebagai Bapa Perubatan Moden, al-Baitar Pakar Herba, Ibnu Khaldun sebagai Bapa Ekonomi Dunia, Ibnu Majid sebagai Singa Lautan dan ramai lagi. Kita boleh warisi ilmunya, jika al-Quran dan hadis mendarah daging.”
            “Allahuakbar. Patutlah pelbagai isu dan musibah sana sini. Puncanya, kita jauh dari al-Quran.”
“Benar Aisy. Isu semasa hari ini, semakin hari semakin dahsyat berbanding zaman jahiliyah. Inilah akibatnya jika kita hanya membaca isi kandungannya tanpa beramal. Kita belum terlambat untuk melahirkan tokoh ilmuwan seperti dahulu.”
“Ini kerja jemaah. Memang patutlah syurga Allah itu mahal.”
“Memang benar Nasif. Mari kita mulakan pada diri kita dahulu.”
Klinik Rohani
“Tahniah kepada semua yang memilih pengajian al-Quran dan tafsir. Kita ada peranan asas di syarikat ini. Kerana Allah, kita berkumpul di sini.”
“Faqih adalah Ketua Jabatan Khidmat Pelanggan. Beliau akan memastikan para pelanggannya berpuas hati dengan perkhidmatan yang ditawarkan. Setiap isu berbangkit, akan cuba diatasi mengikut polisi dan bajet syarikat.”
“Benar ustaz. Ianya cabaran, kerana kita berurusan dengan pelbagai kerenah pelanggan. Faqih perlu pastikan syarikat tidak hilang pelanggan. Ada waktunya, Faqih tertekan dan buntu.”
“Sejak jatuh cinta dengan al-Quran, Faqih telah membuat analisa dan merangka pelan pemulihan jabatan tersebut. Hasil muafakat dengan para pekerja dan pegawai, kami berjaya mengenal pasti punca dan mencipta pelan tindakan. Setiap bulan pegawai kanan akan mencatat di dalam borang khas dan semuanya sistematik. Alhamdulillah, kami amat bersyukur dan berterima kasih kepada Aisy.”
Al-Quran adalah pintu segala ilmu, sama ada teori atau praktikal. Selain banyak memujuk hati pembacanya, ia menyuntik kekuatan mengurus aktiviti. Menghadiri majlis ilmu, biarlah diri amanah dengan masa syarikat.
Ada orang yang berpeluang menuntut ilmu di waktu lain. Tidak salah waktu rehat dikorbankan masa makan demi ilmu. Yang pasti, jauhi dari terambil waktu pejabat. Ini bagi mengelakkan fitnah kepada umat Islam itu sendiri.
“Jadikanlah diri kamu orang ‘alim (berilmu), atau orang yang menuntut ilmu atau orang yang selalu mendengar pengajaran atau orang yang mencintai (tiga golongan tersebut), dan janganlah kamu menjadi orang yang kelima, yang dengan sebabnya kamu akan binasa.” – al-Bazzar.

Golongan yang kelima adalah orang yang tidak suka kepada majlis ilmu dan menghalang majlis ilmu. Hati-hatilah.

HAK CIPTA TERPELIHARA 2015 @ QALAM ARDINI.


Share on Google Plus

About Unknown

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment