Laman sosial adalah medium
terpantas menerima dan sebarkan maklumat. Penggunaannya berleluasa tanpa
mengenal usia. Apapun, nikmat ini alat mencipta saham pahala atau dosa,
bergantung kepada individu yang memanfaatkannya.
“Astaghfirullah,
mengapa berita kehilangan pesawat tidak menjawab soalan? Naik muak
mendengarnya. Asyik melaporkan berita yang sama.”
“Sejak kehilangannya hingga kini,
kesahihan berita tersebut meragukan pelbagai pihak. Tidak kurang juga yang
menjadi ‘pakar’ bagi merungkai perihalnya di laman sosial.”
“Boleh jadi apa yang dikhabarkan
itu benar atau sebaliknya. Setidak-tidaknya, seluruh umat menzahirkan prihatin.
Bersatu menangani isu yang melanda, biarpun masih menjadi 1001 tanda tanya.”
Musibah Untuk Muhasabah
“Innalillahi wa inna
ilaihiraajiun.”
“Bersimpati dengan seluruh ahli
keluarga mangsa. Seluruh masjid di tanahair mengadakan solat hajat serta bacaan
Yaasin berjemaah.”
“Di waktu yang sama, kita teruskan
berdoa. Allah jualah yang merahmati mangsa yang beragama Islam.”
Begitulah ketetapan Allah. Tragedi
kehilangan pesawat ini memberi impak seluruh penduduk bumi. Ada hikmah untuk
kita teladani dan muhasabah diri. Beriman kepada perkara-perkara ghaib, itu
pasti.
Jika kita beriman di tahap yang
biasa, inilah masanya kita mengecas iman semula. Rasa simpati yang dinyatakan
di laman sosial, bercerita dan mengulas isu ini, termasuk berjemaah memohon
hajat pada-Nya, menjadi aktif daripada biasa.
Apakah ianya benar-benar sudah
memadai?
Yang pasti, kita sedar ada kuasa
yang Maha Agung mengkehendaki ianya berlaku. Ramai yang memperbaiki diri untuk
mengakui kewujudan Pencipta. Lebih bermakna lagi, ada yang bersyahadah setelah
dikurniakan hidayah-Nya.
Saranan untuk membaca doa naik
pesawat, dilaksanakan. Para juruterbang dianjurkan untuk mengumumkan waktu
solat fardu, tanpa mengira destinasi. Kesedaran ini boleh diperkasakan lagi
dengan laungan azan. Setelah itu, dirikan solat di tempat duduk penumpang.
Kehilangan pekerja dan penumpang adalah
ketetapan. Yakin dengan ujian tersebut, pihak organisasi sedang giat menambah
baik perkhidmatan. Pentadbiran dan pengurusan disusun semula agar lebih Islamik.
Peringatan dari Allah ini, pasti mengesankan seluruh warga organisasi tanpa
mengira jawatan.
Kepercayaan penumpang setianya
tergugat. Jika pemulihan operasi luaran dan dalaman tidak diendahkan, penumpang
akan beralih arah. Namun, kita berharap pelan terbaik dan patuh syariah ditunaikan
segera, agar insiden 8 Mac 2014 yang lalu tidak senasib dengan pesawat MH370.
Jalankan
Syariat Akan Selamat
Pemantapan
akidah berlaku mendadak hingga media massa, elektronik dan cetak membuat
liputan meluas berkaitan kejadian tragis ini. Bagi umat Islam, kita tiada pilihan
lain melainkan mentauhidkan Pencipta. Tanya pada diri, di manakah kita sewaktu
azan berkumandang?
Seruan
mengerjakan solat itu tidak diendahkan. Ada yang dilewatkan gara-gara leka
dengan media social seperti fesbuk, whatsapp, wechat, blog, bisnes talian atau
melayan pelanggan. Tidak kurang juga yang menyebarkan fitnah untuk memecah
belahkan sesama individu atau organisasi. Gambar-gambar yang tidak menutup
aurat dikongsi hingga terbit masalah baru.
Bagi orang yang benar imannya, jika
mendengar seruan azan, dia bersegera meninggalkan urusan lain kerana
membesarkan Allah. Dia memastikan maklumat yang diberikan di laman sosial
adalah sahih dan benar. Keimanannya menolak larangan Allah seperti menabur
fitnah, mencetuskan permusuhan atau menyebarkan informasi dusta kepada orang
lain.
Realitinya, keimanan yang mantap
telah membuatkan kita merasa diri berTuhan di setiap saat, detik dan ketika.
Kita yakin, sentiasa diawasi dan diperhati oleh Allah. Maka, laman sosial
dimanfaatkan untuk magnet kebajikan. Inilah etika yang Islam benarkan untuk kebaikan
bersama.
Ingatlah, keimanan yang utuh pasti
menyenaraikan diri untuk layak diakui hamba-Nya. Kriteria ini pastikan selari
seperti wahyu-Nya bermaksud,
“Iaitu mereka yang beriman kepada perkara-perkara ghaib,
yang mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami anugerahkan
kepada mereka. Dan mereka yang beriman dengan al-Quran yang telah diturunkan
kepada kamu dan kitab-kitab yang diturunkan sebelumnya, serta mereka meyakini
akan adanya (kehidupan) akhirat. Mereka itulah yang mendapat petunjuk daripada
Tuhan mereka dan merekalah orang-orang yang beroleh kejayaan.”
[Terjemahan al-Baqarah
ayat 3 – 5]
HAK CIPTA TERPELIHARA 2015 @ QALAM ARDINI.
0 comments:
Post a Comment