Warkah Nur Masjid

Pernahkah kita mendapat kad undangan walimatul urus? Jika lebih dari satu, terpaksa memilih. Jika berjauhan, juga perlu merancang. Jika bertembung antara jauh dan dekat, manakah yang perlu diutamakan?
            Memenuhi undangan walimatul urus itu wajib jika tiada keuzuran syarie. Bergantung kepada beberapa faktor seperti lokasi, jarak, kos, hubungan dan sebagainya. Setidak-tidaknya, kita cuba penuhi demi menjaga keharmonian dan ukhwah sesama manusia.
Tentatif walimatul urus biasanya dimulakan dengan akad nikah, marhaban, qatam al-Quran, kenduri disebelah pengantin perempuan dan ditutup dengan kenduri disebelah lelaki. Ini semua bergantung kepada rezeki pasangan pengantin. Justeru, kita boleh memilih bagi memeriahkan jemputan.
                “Amboi! Jauh menung? Teringat bakal suami, Danial?”
“Masya-Allah! Terperanjat Qisrina. Lain kali berilah salam.”
            “Kenapa Qisrina? Macam tiada seri. Senyumlah.”
“Banyak yang Qisrina fikirkan Khalilah. Bingung.”
            “Baguslah. Lepas ini, fahami tanggungjawab.”
“Khalilah, ada tip untuk Qisrina?”
            “Khalilah pun masih belajar. Tip paling asas, sabar, sabar dan sabar.”
“Ya Allah! Mencabar keimanan?”
“Wanita selepas bergelar isteri dan ibu, kuncinya sabar.”
“Betulkah mendidik anak itu tidak semudah bercakap?”
“Tepat sekali! Boleh rujuk buku penulis Abdullah Nasih ‘Ulwan.”
“Qisrina tengok Khalilah, tenang sahaja. Muka pun tidak sarat dengan masalah.”
“Khalilah belajar dan praktikkan. Setelah itu, bergantung sepenuhnya pada Dia.”
“Bolehkah Qisrina hadapi cabaran itu nanti? Serabutnya!”
“Komunikasi amat penting. Pemilihan perkataan. Sesekali tersasul, biasalah.”
“Qisrina ego. Lelaki pun ada ego. Ini kes berat!”
      “Lelaki yang baik, untuk wanita yang baik. Suami yang soleh, ada sifat pemimpin. Mahu atau tidak, diri kita mesti baik dahulu.”
“Bagus petua ini. Qisrina tidaklah mengharapkan bintang dan bulan.”
      “Kita yang mencipta suasana, bukan suasana menguasai kita.”
“Maksud Khalilah?”
            “Jika ada silap faham, bincang dari hati ke hati. Jauhi prasangka dan berteka-teki.”
“Qisrina pernah terfikir, bolehkah dia menyayangi kita seperti ibu dan ayah Qisrina?”
            “Boleh. Pastikan Allah dan Rasul lebih kita cintai. Barulah suami. Insya-Allah, cerah hidup kita.”
“Mendapat permata soleh dan solehah, mesti susahkan?”
            “Perlukan pengorbanan dan mujahadah. Suami dan isteri, perlu interaktif.”
“Qisrina harap, biarlah anak-anak cinta Nabi, cinta keluarga Nabi dan membaca al-Quran.”
            “Insya-Allah. Jika kita sayang anak-anak, didiklah dengan manual-Nya.”
“Kitakan bekerja? Apalah gunanya Qisrina belajar tetapi menjadi suri rumah?”
            “Jika suami kita mampu, silakan. Qisrina rancanglah dengan suami.”
“Sampai masanya nanti, pilihan perlu dibuat. Istikharahkan ada.”                         
            “Qisrina teringat, yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang.” “Setuju! Bersama Allah, tidak perlu gelisah. Biasakan diri mengadu pada-Nya.”
            “Khalilah, tolong rahsiakan cerita kita. Malu Qisrina. Biar pecah di perut, jangan pecah di mulut.”
            “Insya-Allah. Tetapi ada syaratnya.”
“Syarat? Apa dia?”
            “Hadiah buat pengantin, baca dengan suami mithali. Pastikan qatam, faham dan buat setulus hati.”
“Khalilah beri hadiah buku? Alhamdulillah. Sayang Khalilah.”
            “Khalilah pun sayang Qisrina solehah.”
“Amin. Allahumma Amin!”
Rumah tangga mithali. Tentu mengasyikkan apabila mahligai cinta dibina bersama kekasih hati ibarat syurga. Sakinah, mawaddah dan rahmah menjadi pembugar suami, isteri dan permata hati. Lebih indah lagi, perkahwinan yang mendapat restu ibu bapa dan reda Ilahi.
            Allah Maha Penyayang. Adanya al-Quran dan hadirnya Rasulullah menjadi manual wajib di setiap lembaran kehidupan. Tiada satu pun kekurangan, melainkan memilih dengan yakin, mukjizat berumah tangga dengan cahaya serta penuh penghayatan.
Al-Quran dan sunnah adalah ibu kunci ilmu rumah tangga. Sehebat mana ujian dan kekangan, pulihkan dengan mengadu kepada-Nya. Sirah para Nabi, Rasul, orang-orang soleh dan ulamak dulu dan kini, wajar dijadikan pedoman. Ibarat di luah mati emak, di telan mati bapa.
            Wanita dambakan suami persis Rasulullah, manakala suami dambakan isteri persis Khadijah. Realitinya, kefahaman ilmu dan amallah yang membawa kita mengecapinya. Mukadimah penciptaan kita ke dunia, perlu dimurnikan. Maknakan perjalanan kehidupan sebagai pinjaman. Biarlah khatimah kita, diperakui Pencipta Yang Esa.

“Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya di antara pasangan kamu dan anak kamu ada yang menjadi musuh bagi kamu, maka berhati-hatilah kamu terhadap mereka.  Sesungguhnya harta kamu dan anak kamu, hanyalah ujian bagi kamu, dan di sisi Allah pahala yang besar.”(Terjemahan surah at-Taghaabuun ayat 14-15)
Wallahua'lam.
HAK CIPTA TERPELIHARA 2015 @ QALAM ARDINI



Share on Google Plus

About Unknown

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment