Mulia Kerana Korban

“Mengapa Anis belum tidur lagi?”
“Anis sedang mengira dana sebelum diserahkan kepada Nuha yang baru kehilangan ayah tercinta,”
“Innalillahi wa inna ilaihi rajiun. Moga rohnya dirahmati oleh-Nya,”
“Persatuan kami sedang merancang untuk mengadakan tahlil. Hujung minggu nanti kami akan menziarahi Nuha dan keluarganya bonda,”
“Masya-Allah, moga Allah mudahkan urusan kalian. Bonda ada saguhati dan pakaian untuk diberikan.”
“Alhamdulillah, terima kasih bonda. Anis akan serahkan kepada Soraya kerana dia yang mengumpulkan pakaian,”
“Bonda, adakah apa yang Anis lakukan ini dihisab sebagai pengorbanan?”
“Allahuakbar. Pengorbanan itu perlu dimurnikan dengan niat sayang. Setelah itu, pasti berbalas jika kita tidak mengharapkan habuan dunia. Lebih indah lagi, jika kita mengharapkan reda Allah semata-mata bukan kerana yang lain.”
“Benarkah pengorbanan itu hanya dengan wang dan harta benda bonda?”
“Itu hanyalah sebahagian. Ada orang memberikan pengorbanan menerusi masa, tenaga dan jiwa. Asalkan, ianya dilakukan ikhlas tanpa ada niat yang lain,”
“Kadang-kala, kami rasakan pengorbanan kami ini terlalu kecil dan sedikit. Selain memanfaatkan masa, banyak yang kami pelajari. Sabar, syukur dan menghargai erti kehidupan kami bonda.”
“Baguslah sayang. Bonda menyokong dan berdoa apa yang kalian usahakan ini moga diberkati.”
“Allahumma amin. Terima kasih bonda. Hilang penat Anis.”
Sudah menjadi tradisi pengorbanan pasti berbalas kejayaan. Dalam setiap diri anak Adam, cinta perlukan pengorbanan. Ianya bukanlah laluan mudah kerana perlu mengagahi keperitan, kepayahan, kesusahan dan kesakitan terlebih dahulu.
Semua berpotensi mencipta pengorbanan. Bagi memastikan pengorbanan itu bermakna ianya perlukan penghayatan. Yang pasti, pengorbanan yang berpaksikan akidah yang benar menyemarakan perpaduan ummah.
Jika berkorban harta benda, pastikan yang terbaik. Jika dengan tenaga dan masa, perlulah dengan ketekunan dan komitmen jitu. Jika dengan jiwa, perlulah diniatkan semata-mata kerana Allah dan bukannya mengharapkan yang lain.
Secara fitrah, manusia suka kepada harta benda. Maka, Allah perintahkan agar mengeluarkan zakat berdasarkan kalamullah,
“Kamu sekali-kali tidak sampai kepada kebajikan (yang sempurna), sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu cintai. Dan apa-apa sahaja yang kamu nafkahkan, maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.” (Ali ‘Imran : 92)
Abu Bakar sendiri tidak sayang mengorbankan harta benda untuk mencari reda Allah. Bila ditanya apa lagi yang tinggal untuk diri dan keluarganya, dengan yakin beliau menjawab Allah dan Rasulnya. Beliau membuktikan pengorbanan dengan perbuatan tanpa kompromi.
Ruang dan peluang untuk mencintai Allah dan Rasul menerusi pengorbanan itu terhidang luas. Ianya memiliki harganya tersendiri meskipun hanya mengukir senyuman. Nabi menyatakan bahawa,
“Bagi setiap anggota tubuh manusia wajib disedekahi. Pada setiap hari di mana matahari terbit. Engkau berlaku adil terhadap dua orang itu sedekah, engkau menolong seseorang yang berkenderaan lalu engkau bantu dia untuk naik kenderaannya atau mengangkatkan barangnya juga sedekah, ucapan yang baik pun sedekah, setiap tingkah ketika engkau berjalan menuju solat juga sedekah dan menghilangkan gangguan dari jalan pun adalah sedekah.” (Imam Bukhari dan Muslim)
Apapun, pengorbanan yang tertinggi adalah syahid di jalan Allah. Bukan semua orang dipilih mendapat syahid kerana di zaman Nabi lagi, ada yang tertolak syahidnya kerana pengorbanan itu tidak diniatkan ikhlas kerana Allah semata-mata.
“Wahai orang yang beriman, sukakah aku tunjukkan kepada kamu perniagaan yang akan menyelamatkan kamu daripada siksa yang pedih? Yakni engkau beriman kepada Allah dan Rasulnya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan diri kamu. Itu lebih baik buat kamu andainya kamu mengetahui.” (as-Saff : 10-11)
Ada orang berkorban demi ibu bapa, suami, isteri, anak-anak, sahabat, masyarakat atau agama. Pengorbanan kepada Allah dan Rasul adalah sangat dituntut. Ianya masih terpuji selagi diniatkan semata-mata untuk Yang Maha Esa.
Pengorbanan diiringi cinta sejati membawa kejayaan hakiki. Sesungguhnya, setiap pengorbanan pasti berbalas jika benar iktikadnya, benar tindakannya dan mendamaikan hati sebagai natijahnya.
Moga pengorbanan kita memaknakan diri dan insan yang menerimanya selain diredai Pencipta sebagai pelengkapnya.

            Wallahu’alam.
Sumber : AMSB | 2014


Share on Google Plus

About Unknown

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment