Bercinta Dengan Jawatan

            “Maafkan saya Isfan. Saya bukanlah wanita yang terbaik. Tawaran menjadi AJK Daurah  tidak dapat dipenuhi.”
“Kenapa Tasnem? Saya sebagai Pengerusi berkuasa membuat keputusan.”
“Tasnem pasti dapat menyumbang. Bukankah Tasnem ramai pengaruh? Itu satu bonus?”
“Urusan perlantikan ini perlu telus. Para ahlinya bebas memilih siapa sebagai AJK. Kita ikut saluran yang betul.”
“Bukannya ada sesiapa yang berani pertikaikan apa yang Pengerusi lakukan. Atau Tasnem ada calon lain?”
“Isfan, selama ini orang lain menghormati kelab Daurah. Barisan kepimpinan yang sebelum ini disegani perlu diteruskan. Usahlah Isfan dan pihak tidak bertanggunjawab mencalar nama baiknya.”
“Tasnem tidak percayakan Isfan? Apa selama ini, kami berbuat zalim?”
“Itu Tasnem tidak pasti. Tanyalah diri Isfan sendiri. Yang penting, Tasnem hanya berharap biarlah kehebatan dan keagungan kelab Daurah sentiasa menjadi contoh kepada kelab-kelab lain dapat dipertahankan.”
“Maksud Tasnem? Kami menyeleweng?”
“Isfan, mana Isfan yang Tasnem kenal dahulu? Mengapa singkat sungguh intelek setelah 3 penggal berturut-turut menjadi Pengerusi?”
            “Isfan sudah lupa pada ikrar agaknya. Nanti Tasnem tolong ingatkan. Mahu Tasnem bacakan sekarang?”
“Isfan serius, Tasnem bergurau pula. Bolehlah. Terimalah tawaran Isfan?”
“Maaf zahir batin. Pasal itu, Tasnem muktamad.”
Apakah perasaan kita ketika memiliki jawatan? Pernahkah kita muhasabah, adakah jawatan yang kita nikmati pada hari ini, kita perolehi secara halal atau haram? Lebih hebat lagi, adakah jawatan ini membuatkan kita semakin dekat atau jauh dari Yang Esa?
Ada yang berpendapat, jawatan adalah lambang kemuliaan. Memiliki jawatan/kuasa boleh berbuat sesuka hati. Kepercayaan bahawa jawatan juga suatu kebanggaan di atas usaha untuk mendapatkannya kerana bekerja keras.
Mitos sebegini perlu diperkasa dengan kefahaman yang lebih sempurna. Islam tidak pernah menghalang kita memiliki sebarang jawatan. Hakikatnya, Allah jualah yang mentakdirkan.  Kitalah yang mentadbir menurut acuan-Nya.
Setiap perkara dari sekecil-kecil hal hinggalah sebesar-besar hal, pasti ada Pencipta dan aturan-Nya. Ibaratnya, novel. Terhasilnya senaskah novel kerana pengarangnya. Usaha gigih pengarang dibantu oleh editor dan timnya. Maka, al-hasil lahirlah novel yang boleh dimanfaatkan oleh pembaca.
Begitulah juga dengan jawatan. Jawatan yang disandang adalah bertujuan untuk memasyarakat ummah. Kepimpinan melalui tauladan sangat kritikal bagi memastikan objektif tercapai. Pastilah, Rasulullah adalah ikon yang tepat untuk dijadikan pedoman.
Qudwah hasanah Rasulullah perlu diselaraskan dengan keperluan masa kini agar ianya mesra ummah. Antaranya termasuklah sistem pemilihan telus. Calon mestilah memiliki ciri-ciri pemimpin, berakhlak mulia, berjiwa tawaduk, bijak menangani isu serta kuat berpegang kepada tali Allah.
Mahu atau tidak, seorang yang membudayakan syariat dalam semua segi. Akidah yang mantap akan memudahkan dia merealisasikan perjuangan tanpa mengorbankan fikrah asalnya. Ketrampilan yang meyakinkan orang lain pasti terpancar setelah mentaati Allah dan Rasul, ibu bapa, para pendidik serta menghormati dan meraikan pandangan orang lain.
Tidak ada yang mustahil bagi mana-mana individu berjawatan kecil atau besar, popular atau tidak, yang utama adalah bagaimana kita dapat berbakti berjemaah. Yang pasti, adakah jawatan itu mendapat rahmat atau mengundang murka Allah Yang Esa?
Muhasabah dan perbaiki NIAT. Bisik pada diri, apakah yang akan kita bawa jika dipersoalkan oleh pemberi jawatan iaitu Allah? Fitrah insan adalah tahta, wanita dan harta. Semuanya itu perhiasan dunia yang wajar dinikmati untuk meraih reda Ilahi.
“Ya Allah, bukakanlah jalan untuk kami dalam memudahkan setiap urusan yang sukar, kerana memudahkan setiap yang sukar itu amat mudah bagi Kamu. Ya Allah, permudahkanlah kami segala urusan kami, serta kurniakanlah ketenangan di dalam hati kami dan kesihatan pada tubuh badan kami, keselamatan dan kesihatan pada agama kami dan dunia kami,”
Ketahuilah, jika kita dianugerahkan jawatan, pilihlah Rasulullah sebagai pedoaman. Sirah telah membuktikan dan membenarkan bahawa Baginda berjaya memimpin hingga dipuji oleh manusia merentas zaman. Justeru, kita hanya perlu mengulanginya agar cemerlang di langit dan bumi.
Wallahua’lam.

HAK CIPTA TERPELIHARA @ 2015M | 1437H




Share on Google Plus

About Unknown

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment