Media Sosial - Ulul Albab

“Tahniah Rose Qisya! Penyampaian waktu mesyuarat tadi bakal meraih durian runtuh.”
“Itu baru proposal. Belum muktamad lagi di peringkat pengurusan.”
          “Nampak gaya, ramai yang menyokong.”
“Gugup Rose Qisya pun belum reda lagi. Alhamdulillah, itu pun hasil carian di media sosial.”
“Media sosial? Mustahil! Boleh ke media sosial memberikan maklumat sebegitu hebat?”
“Nur Sufi, kenapa tidak? Kemudahan untuk dirai bukan dimusuhi. Media sosial itukan alat.”
          “Maknanya, Rose Qisya mencari maklumat di media sosial tanpa ragu-ragu?”
 “Bukan begitu. Kita perlu saring.  Pastikan kita kenal bukti mutlaq ketokohan dan keilmuwan seseorang. Itu hanyalah sebahagian sumber yang kita kaji.”
          “Pastikah? Entahlah, sejak beli produk atas talian, serik. Nur Sufi susah hendak percaya.”
“Itu silap sendiri. Patutnya, selidik dahulu sejauh mana bisnesnya. Kenali siapa pemilik. Dapatkan maklumat lanjut dari pelanggan lain agar tidak tertipu.”
          “Yang itu, Nur Sufi mengaku. Apapun, tahniah Rose Qisya! Moga proposal tadi memberi manfaat syarikat.”
          “Insya-Allah.”
          Media sosial adalah suatu medium terkini yang wajar dijadikan sebagai alat komunikasi, menyebarkan maklumat, bisnes atau rujukan. Soalnya, adakah ia manfaat atau mudarat?
          Setiap orang yang menggunakan media sosial terikat dengan tanggungjawab. Baik atau buruk, halal atau haram, pahala atau dosa, untung atau rugi, celik atau buta serta bahagia atau derita, kitalah yang menentukannya.
          Lambakan maklumat cukup pelbagai hingga tidak terkawal. Kita patut menghargai media sosial, asalkan disantuni dan tidak melalaikan. Ianya umpama pisau. Realitinya, kitalah yang memastikan pisau itu untuk kebaikan atau keburukan.
          Orang yang beriman dengan hari Akhirat, memastikan media sosial ladang meraih kebaikan buat dirinya dan masyarakat. Jika dia seorang pendakwah, tokoh ilmuwan atau tokoh agamawan, sumbangan mereka menjadi keutamaan. Masyarakat yang cintakan ilmu dahagakan panduan.
          Bayangkan jika kepakaran dan ketokohan mereka tiada di laman sosial? Pastilah akan berlaku krisis terutamanya yang melibatkan akidah, syariat dan akhlak Islamiyah. Walhal, Islam mengajar kita agar bertanya kepada orang yang ahli, orang yang kuat ingatan, orang yang lebih tahu dan orang yang berpengetahuan luas.
          Hakikatnya, ia suatu tuntutan dari Allah. Rujuk surah an-Nahl ayat 43 bermaksud,
“Dan tidaklah kami mengutus rasul-rasul sebelum kamu melainkan orang lelaki, yang Kami wahyukan kepada mereka. Oleh itu, bertanyalah kamu kepada orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui.”
          Wahyu ini mendidik kita untuk berwaspada sewaktu menggunakan media sosial. Jika boleh, selidik maklumat yang diterima. Usah terima bulat-bulat. Setidak-tidaknya, persiapkan diri dengan asas-asas Islam yang kukuh agar tidak mudah terpengaruh.
          Usah terlalu mudah berkongsi dan sebarkan sesuatu maklumat tanpa memastikan kebenarannya. Setelah ianya yakin benar, lakukan secara tawaduk dan rendah hati. Fikirkan risiko atau kesannya sebelum kita menyesal.
          Bertanyalah kepada tokoh-tokoh yang diyakini dan dipercayai jika terdapat sebarang kemusykilan. Lakukan dengan penuh adab dan etika. Kita boleh mengakses dengan mudah tetapi pastikan ianya diiktiraf oleh pihak berwajib.
          Tidak dinafikan, sesetengah individu atau pihak telah menyalah gunakan media sosial. Ianya seakan virus dan penyakit demi rakus mengaut keuntungan dan kepentingan sementara. Hasilnya kelak, pasti ianya terkena kepada diri mereka sendiri.
Biasanya, puak sebegini tidak akan bertahan lama. Kita sebagai penggunalah yang perlu gandakan waspada agar tidak menjadi mangsa. Fahami kepentingan kita sebagai pengguna supaya tidak tertipu dan terfitnah dengan promosi atau iklan yang menggoda.
Justeru, taqwalah yang mengurus kita dari kelalaian media sosial. Kita wajar meletakkan media sosial di tangan bukan di hati. Moga media sosial itu kita ubah menjadi kebaikan dunia untuk agama-Nya.
“Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang yang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.” (al-Hujurat ayat 6)
Muhasabah hati!
Wallahua’lam.

 Sumber : AMSB | 2014

Share on Google Plus

About Unknown

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment