Mahligai Cinta Syurgawi

“Ini tidak boleh jadi. Ramai kawan sekuliah telah mengakhiri zaman bujang. Julia pun sudah berkeluarga.”
          “Jangan-jangan Lara cerewat?”
“Bukan begitu. Ada beberapa sebab Julia. Bosan!”
“Kenapa Lara? Macam tidak puas hati dengan seseorang bunyinya,”
“Ikutkan hati, malas fikir soal jodoh,”
          “Lara tidak sayangkan diri ke? Umur pun masih muda. Insya-Allah, adalah jodoh yang baik tidak lama lagi,”
“Lara pernah kecewa dan serik Julia. Geram! Ramai yang hanya ingin berseronok,”
“Lara pasti? Jangan-jangan ada jejaka yang serius tetapi tidak diberi peluang?”
“Serabutlah fikir pasal kahwin. Kerja pun tidak susah macam ini,”
“Lara, berilah ruang pada diri. Mungkin suatu hari nanti, pasti bertemu dengan pasangan hati.”
“Nantilah. Bukan sekarang Julia. Lambat lagi,”
“Perkara yang baik, usah buang masa. Seeloknya, bincang dan mohon restu keluarga,”
“Doakan Lara. Mudah-mudahan makbul.”

Kita suka membuat perbandingan dengan orang lain. Sukar kita menzahirkan rasa syukur dengan nikmat yang ada. Paling kasihan, budaya terikut-ikut membuta tuli. Akhirnya, diri terseksa dan makan hati.
Soal jodoh ini, bukan urusan yang mudah. Perlu kita fahami. Realitinya, rata-rata pasangan yang membina masjid, mendambakan kekal bahagia hingga jannah.
Murnikan Niat
Ada orang berkahwin kerana pelbagai sebab. Fizikal, kerjaya, pendidikan, kemampuan atau pilihan keluarga adalah sebahagian darinya. Ada juga yang beranggapan sebagai fitrah dan tabii manusia.
Apa jua sebabnya, semua itu dikira baik selagi terasnya agama. Bila sampai jodoh seseorang, tiada siapa dapat menghalangnya. Yang pasti, sepanjang menelusuri mahligai cinta bersama, hadapi ujian. Balik kepada niat asal kita.
“Wahai sekalian manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu daripada seorang diri, dan daripadanya Allah menciptakan isterinya. Dan daripada kedua-duanya Allah mengembang biakkan lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu.” (An-Nisak : 1)  
 Inilah wahyu teragung buat pedoman. Jejaki kisah-kisah rumah tangga para Nabi dan Rasul bagi mengukuhkan hikmah berkeluarga. Jadikan pengalaman silam sebagai sumber kekuatan di samping belajar dari kesilapan agar mematangkan diri.
 Usah biarkan diri dikuasai oleh kekecewaan terlalu lama. Sebagai insan lemah, kita mohon kepada Allah. Yakin dengan ketentuan-Nya. Perkasakan diri sebelum benar-benar menempuhi mahligai cinta.
Hijrah niat berkahwin kerana Allah semata-mata. Jika ianya adat, gantikan dengan ibadah. Niat yang lurus sahaja bakal menjamin kehidupan berumah tangga dilimpahi mawaddah wa rahmah.
Lihatlah dan pastikan bakal pasangan mengamalkan seruan agama. Mulakan dengan istikharah agar tidak kecewa. Pilihan masih ditangan kita, namun mintalah restu keluarga bagi memastikan mahligai cinta bak cahaya atas cahaya.
Penyakit ego tidak pernah menguntungkan kita. Itu tandanya kita belum mengenal Pencipta. Apatah lagi memahami dengan tepat erti qada’ dan qadar.
Mulai sekarang, bersihkan hati dari penyakit benci, dendam, cemburu atau pemarah. Gantikan dengan bersangka baik atas takdir Allah. Suburkan hati dengan sifat tabah dan cekal.
Benar jodoh itu rahsia Allah. Sebagai hamba Rabbani, kita disarankan untuk berikhtiar dan memilih bersesuaian dengan ketetapan-Nya. Mencari bukannya menyesali.
Islam ada panduan lengkap dan bukti bahawa hidup berumah tangga suatu yang mulia. Selain bersendikan sunnah Nabi, ianya saham untuk menggandakan amal ibadah. Jika dilanda ujian di awal, di pertengahan atau di hujung mahligai cinta, jadikan Allah sebagai luahan rasa yang pertama.
Bagi yang tersasar niat berkahwin, masih belum terlambat untuk mensucikan niat. Ketahuilah, sifat Pengampun dan Pengasih Allah mengatasi kemurkaan-Nya. Bertaubatlah segera dengan memperbaharui niat berkahwin selagi hayat di kandung badan.
“Wahai orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar. Nescaya Allah memperbaiki bagi kamu amalan-amalan kamu dan mengampuni bagi kamu dosa-dosa kamu. Dan sesiapa yang mentaati Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya dia telah mendapat kemenangan yang besar.” (al-Ahzab : 70-71)

          Wallahu’alam.
Sumber : AMSB | 2014

Share on Google Plus

About Unknown

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment