Ibu Mertua Mithali


“Muaz, bila Hanisah habis pantang, biarlah cucu ini ibu yang jaga,” kata ibu kepada Muaz sambil tersenyum.
“Muaz tahu ibu sayangkan cucu sulung ini. Nanti Muaz bincang dengan Hanisah,” pujuk Muaz kehairanan.
“Muaz, pasal ini pun perlu bincang dengan isteri?”
“Kamu berdua sibuk. Lagipun, banyak buruknya jika dihantar ke rumah pengasuh atau taska.”
“Insya-Allah, kamu tidak perlu risau selagi ibu yang mengasuhnya. Waktu cuti, kamu boleh jenguk dia di kampung.”
“Terima kasih ibu, Muaz hargai permintaan ibu. Ibu masih sayangkan Muaz meskipun telah bercucu.”
“Kerana sayanglah ibu sanggup membelanya. Ibu tidak sanggup melihat sebarangan orang yang mengasuhnya.”
“Muaz, bawa Aniqah ini pada Hanisah. Haus agaknya. Berikan susu ibu. Usah berikan susu formula. Ingat pesan ibu.”
Aniqah telah diberikan kepada isteri yang dicintainya seperti yang disuruh.
“Ibu, kenapa cucu ibu perlu diberi susu ibu bukan susu formula?” soal Muaz keraguan.
“Susu ibu adalah yang terbaik dan banyak khasiat. Baik untuk menantu dan cucu ibu.”
“Biasanya susu ibu hanya diberi sewaktu pantang sahajakah ibu?”
“Cukuplah. Setelah itu, ibu yang akan susukan dengan susu formula.”
Sayang, berikan anak kita susu ibu hingga 2 tahun. Abang akan bantu supaya orang yang abang kasih sihat wal’afiat dan mendapat manfaat. Teringat janji Muaz buat isteri tercinta.
“Muaz, kamu dengar atau tidak apa yang ibu katakan?”
Muaz serba salah.
“Ibu, maafkan Muaz. Insya-Allah, nanti Muaz bincang dengan ibu soal ini.” Tutur Muaz lembut.
“Muaz jangan sampai derhaka. Nanti tidak cium bau syurga,” ibunya berkeras.
Astaghfirullah wa atubu ilaiah. Muaz sayang dan hormat dengan permintaan ibu. Cuma, beri Muaz masa. Tolonglah ibu,” rayu Muaz penuh makna.
Begitulah antara dilema realiti seorang lelaki berstatus suami. Ibarat hendak diluah mati emak, ditelan mati bapa. Jika silap mengambil tindakan, pasti ada hati insan yang dikasihi dan disayangi terluka.
Bukan mudah menggalas tanggungjawab sebagai anak, suami, ayah, menantu atau pekerja pada masa yang sama. Bahkan, ianya memerlukan persediaan dari segi zahir, batin, mental dan fizikal. Apapun, persediaan yang utama adalah ilmu agama dan ilmu alam rumahtangga.
“Dan Tuhan kamu telah memerintahkan kamu supaya jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapa kamu dengan sebaik-baiknya.” (Al-Isra’ : 23)
Inilah wahyu yang menjadi asas seorang anak lelaki meskipun setelah berkahwin. Keutamaan terhadap ibu bapa masih menjadi agenda hidupnya setelah taat kepada Allah dan Rasul. Bagi para isteri, ketaatan kepada suami dituntut setelah berkahwin, namun masih perlu menghormati kedua orang tuanya.
Bagi menjawab dilema suami, antara ibu dan isteri, kematangan imanlah yang boleh mendorongnya di dalam membuat keputusan. Suami yang beriman dengan Hari Akhirat, dia akan berusaha berbincang dari hati ke hati bagai menarik rambut di dalam tepung.
Bekas Pegawai Agama Istana Negara, Datuk Abu Hassan Din Al-Hafiz pernah mengingatkan bahawa,
“Dalam Islam, apabila anak sudah berkahwin, ibu bapa tidak boleh mencampuri urusan rumah tangga anak-anak kerana dikhuatiri mendatangkan keburukan.”
“Perlu diingat mentua tidak boleh masuk campur urusan anak mereka melainkan untuk mendamaikan rumah tangga dan ke arah kebaikan.”
Hadis yang diriwayatkan Aisyah merekodkan,
“Aku pernah bertanya kepada Baginda, “Siapakah orang yang paling berhak ke atas isteri?” Baginda menjawab, “Orang yang paling berhak kepada isteri ialah suaminya.” Kemudian aku bertanya lagi, “Dan siapakah orang yang paling berhak ke atas suami?” Baginda menjawab, “Orang yang paling berhak ke atas seorang suami ialah ibu kandungnya.” (Bazar dan al-Hakim)
Justeru, uruskanlah mahligai cinta dengan menghormati ibu bapa dalam perkara yang bukan maksiat. Santuni mereka di samping tidak mengabaikan hati isteri tercinta. Moga Allah mengilhamkan solusi yang diredai sepanjang menelusuri Baitul Muslim pinjaman-Nya.
Wallahua’lam.
 Sumber : AMSB | 2014

Share on Google Plus

About Unknown

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment