Israk Hamba Mikraj Pencipta


            “Solat itu ibu ibadah. Sebaik mana Khalilah sesama manusia, tanpa solat alangkah sedihnya. Puas Uwaisyah berdoa dan berkempen kepadanya.”
“Cuba hantar whatsapp atau wechat sebaik masuk waktu solat. Ajak ke majlis ilmu dan selitkan jadual tazkirah.”
“Semuanya telah diikhtiarkan, namun masih belum berhasil.”
            “Beginilah, apa kata kita berikan buku sebagai hadiah. Moga usaha murni kita mendapat pertolongan-Nya.”
            “Asas dalam urusan adalah dengan Islam dan tiangnya ialah solat. Ini pesan Nabi.” Catatan kad ulang tahun buat Khalilah.
            Sambil membelek hadiah yang baru diterima, hati berbunga-bunga. “Hadiah buku? Menarik dan seronok. Daripada hamba Allah yang kerdil.”
Patutlah hati ini terasa kosong. Meskipun pelbagai nikmat, ianya merupakan istidraj. Semua yang dilakukan tidak pernah merasa cukup. Pasti ada sahaja rungutan dan tidak puas hati melihat orang lain senang.
            Solat fardu tidak cukup lima waktu. Banyak tugasan terbengkalai. Akibat culas, maka kerap mendesak orang lain menyiapkannya. Hal ini berterusan hingga menerbitkan rasa tidak puas hati di kalangan rakan sekerja.
            Jika dosa maksiat ini dibiarkan tanpa mengenal Tuhan, pasti hidupnya penuh dengan kepura- puraan. Ada sahaja musibah yang semakin menjauhkan diri daripada-Nya. Dirinya dijadikan habuan dunia, material, kuasa, hawa nafsu, syaitan malah turut merosakkan orang lain.
            Solat itu wajib ke atas setiap individu Muslim. Ianya merupakan perintah utama kerana jika kita meninggalkannya mendapat dosa. Hati yang berdosa akan menyukarkan kita mendapat rahmat dan kasih sayang Pencipta.
“Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa-apa yang diwahyukan kepada kamu daripada al-Quran, dan dirikanlah solat (dengan tekun), sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar. Sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya), dan ingatlah Allah mengetahui akan apa-apa yang kamu kerjakan.”
[al-Ankabut ayat 45]
“Khalilah, dengar ada orang ingin menaja umrah. Jika bersetuju, mohon isi borang ini dan kembalikan kepada Uwaisyah. Ini rezeki.”
“Umrah? Uwaisyah berilah kepada orang lain. Saya sibuk. Mungkin belum rezeki saya.”
“Khalilah, peluang ini hanya datang sekali. Bacalah artikel ini dahulu. Bertuah Khalilah. Dalam ramai-ramai Allah pilih kita sebagai tetamu-Nya.”
“Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan solat, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk dan semasa kamu berbaring. Kemudian apabila kamu telah berasa tenteram (berada dalam keadaan aman), maka dirikanlah solat itu (dengan sempurna sebagaimana biasa). Sesungguhnya solat itu adalah sesuatu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.”
[an-Nisa’ ayat 103]
            “Uwaisyah, Khalilah banyak dosa. Selama ini solat banyak qodho dan lalai. Jauh dari Allah. Sejak membaca buku, saya benar-benar insaf. Syukur kerana Allah beri peluang kedua. Doakan umrah saya mabrur.”
            “Alhamdulillah.” Uwaisyah rasa bersyukur kerana Allah telah perkenankan usaha kecil mereka. Amat benarlah, tugas kita adalah berdakwah secara hikmah. Yang pasti, Allah jualah yang memberikan hidayah kepada hati-hati manusia menurut ilmu-Nya.
            “Kini, Khalilah sedar dengan solat, hati mendapat ketenangan. Teringat pesan Nabi bermaksud,
“Sesungguhnya amalan pertama yang dihisab bagi seseorang hamba pada hari Kiamat ialah solatnya. Jika solatnya baik, maka dia akan menang dan berjaya. Sekiranya solatnya itu rosak, maka dia akan binasa dan rugi.”
[Imam Tirmizi]
            “Khalilah sedang berusaha solat fardu penuh sebelum berangkat ke Tanah Suci. Mujur Khalilah bertaubat. Dek terkesan dengan ancaman neraka menerusi wahyu Allah bermaksud,
Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam neraka Saqar? Mereka menjawab, Kami dahulu bukan daripada golongan orang-orang yang bersolat.”
[al-Muddathir ayat 42 dan 43]
Sejak pulang dari umrah, Khalilah benar-benar berubah. Solat itu telah menjadikan dia seorang yang bertanggungjawab dan disegani ramai. Hidupnya lebih memberi manfaat berbanding sebelumnya.
Sejauh mana solat fardu kita? Adakah solat telah mendidik hati agar menjauhi kemungkaran? Bersamalah kita muhasabah dan muhajadah. Moga ianya bertambah khusyuk dan diterima Pencipta Yang Maha Esa.
Wallahua’lam.
 Sumber : AMSB | 2014

Share on Google Plus

About Unknown

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment