Diari Memahat Taqwa

“Kenapa puasa itu wajib?” soal Alia.
“Dalam kalendar Islam, bulan Ramadan adalah bulan yang ke-9. Sepanjang setahun, hanya sebulan Tuhan perintahkan puasa Ramadan,” bicara Humaira.
“Seingat Humaira, puasa wajib seperti umat terdahulu dan puasa dapat membentuk taqwa,” sambungnya lagi.
“Apa rancangan Humaira sepanjang bulan Ramadan tahun ini?” tanya Alia.
“Insya-Allah, diari Ramadan telah disemak oleh mama dan ayah. Kami menjemput sanak saudara iftar di rumah kami. Bertukar juadah dengan jiran turut tersenarai. Moga Tuhan permudahkan,” terang Humaira.
“Alia pasti Humaira akan membaca al-Quran sehari sejuzuk, banyak berdoa, zikir munajat dan solat sunat Terawih berjemaah. Mama dan ayah serta adik-beradik yang lain menjadi peneman setia.” luah Alia.
“Sahabatku Alia pula, akan berlumba-lumba untuk membaca al-Quran dan memahami isi kandungannya. Dia juga rajin solat sunat Terawih. Ringan tulang untuk menyediakan juadah iftar dan sahur. Ulang kaji pelajaran dilakukan sepertiga malam selepas solat sunat Tahajud. Inilah yang Humaira kagumi.”
Bicara mereka terhenti kerana ketibaan bas sekolah.
Juadah sambal goreng, bubur lambuk, tauhu sumbat dan air nenas adalah kemestian setiap kali bertemu Ramadan al-Mubarak. Hidangan yang sederhana ini menjadi rebutan kerana seharian menahan lapar dan dahaga. Mulalah adik-beradik membantu ibu dalam urusan dapur bergilir-gilir.
Giliran berkemas sewaktu iftar dan sahur kadang kala culas kerana pelbagai sebab. Mengantuk, lambakan kerja sekolah, ulangkaji pelajaran, penat dan dimanjakan adalah fitrah seorang ibu sepenuh masa. Apapun, asam garam sebegitu berbalas pahala kerana yakin dengan janji-janjiNya.
Persiapan untuk mengaji al-Quran dan solat sunat Terawih adalah misi utama.  Saf kami strategik. Berhadapan tiang, bawah kipas dan sebelah kanan ialah seorang nenek. Hampir tujuh tahun kami menempah saf tersebut. Jika lewat, saf belakang yang selayaknya bagi mendirikan 23 rakaat dengan syukur.
Semarak Ramadan.
“Kakak, hari ini kita ponteng mengaji. Mama dan ayah tidak mengetahuinya,” usul Qatrun kepada Humaira.
“Ponteng mengaji? Tetapi kenapa?” soal Humaira mohon kepastian.
“Kerja sekolah banyak. Bangun pagi dan buat kerja rumah lagi. Qatrun penat. Nasib baik tidak tertidur sewaktu di dalam kelas,” keluhnya.
Sambung Qatrun lagi, “Mengaji perlukan tenaga suara, solat tidak. Seronok dengar bacaan Imam dengan ayat-ayat suci al-Quranul Karim,” luah Qatrun penuh minat.
“Boleh. Boleh sangat. Itupun jika Qatrun datang haid seperti kakak Humaira. Jika tidak, lupakan hasrat itu. Bukankah nafsu itu mengajak kepada kejahatan?” pujuk kakak yang menyayangi Qatrun.
 Beberapa minit berbaki sebelum azan Subuh berkumandang, suami dan anak-anak telah bersedia untuk ke masjid. Setelah mengambil wudhuk, kami sekeluarga berjalan sambil berdoa,
“Ya Allah, jadikanlah cahaya di dalam hatiku, cahaya pada lidahku, cahaya pada pandanganku, cahaya pada pendengaranku, cahaya dari kiriku, cahaya dari kananku, cahaya dari atasku, cahaya dari bawahku, cahaya di hadapanku, cahaya dari belakangku dan cahaya dari diriku.”
Ramadan, semua amalan hasanah teristimewa dihati-Nya. Ibadat wajib dan sunat ada status-Nya yang Maha benar. Ini selaras dengan saranan Nabi sallahu ‘alaihi wa sallam,
“Sesiapa yang melakukan amalan sunat dari cabang kebaikan nilainya sama melaksanakan fardu yang selain daripadanya, dan siapa yang menunaikan fardu, maka dia seolah-olah menunaikan 70 fardu yang selain daripadanya.”
Bonda ajari, “Ya Allah, sejahterakanlah aku sehingga datangnya bulan Ramadan, sejahterakanlah Ramadan itu bagiku dan terimalah dariku (ibadat pada bulan itu).”
 Sambut Ramadan dengan taubat nasuha kepada Allah. Ikhlaskan diri agar kembali mengabdikan diri berbuat ketaatan. Berazam untuk memperbaiki diri secara dalaman dan luaran.
Bersedia bersungguh-sungguh untuk mendirikan ibadat puasa, solat berjemaah, solat sunat Terawih, membaca al-Quran, berzikir, bersedekah, berdoa, qiyamulail, iktikaf di masjid, belajar dengan tekun, bisnes gaya Nabi serta bekerja dengan wibawa dan amanah.
 Menjadi taqwa itu manusiawi. Ianya terindah, bukannya bermusim dan tiada terhad pada tempoh masa tertentu. Tanpa taqwa, bersiap siagalah untuk hina dina. Moga Ramadan memahat taqwa. Pesan almarhum ayahanda.

Wallahua’lam.
Sumber : AMSB | 2014


Share on Google Plus

About Unknown

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment