Dia anggun. Wajahnya murah dengan senyuman. Pengalaman
bertemu dengan pelanggan, membuatkan dia mudah mesra dan disenangi ramai.
Memudahkan, bukannya menyusahkan adalah prinsipnya. Masih bujang, walaupun saya
telah berkeluarga. Dia banyak menceritakan kisah keluarga kepada saya tanpa
ragu. Saya menjadi pendengar setianya.
Saya seorang yang memilih. Tidak
berkawan dengan ramai setiap kali dinaikkan pangkat. Saya lebih gemar
bersendirian. Bertugas di jabatan baru, semua terasa baru. Apa yang dibawa
hanyalah pengalaman dan sedikit ilmu kehidupan. Memulakan tugas tanpa kehadiran
Pengurus, tidak melemahkan semangat.
Selepas dua minggu, saya memberanikan diri menyapanya.
Perkenalan kami dimulai dengan makan tengahari berdua. Benarlah tekaan saya.
Dia fasih berbicara. Berkongsi pandangan dan nasihat. Dia ditugaskan setahun
lebih awal di unit yang berbeza.
“Mialysa bertuah kerana terpilih untuk jawatan tersebut.
Tahniah!”
“Alhamdulillah,
terima kasih. Saya hargainya.”
“Saya bukannya baik. Suami orang sedang menagih cinta saya.
Naik meluat dengan kerenahnya.”
Masya-Allah! Saya hampir tercekik tulang. Namun, saya cuba
mengawal emosi kerana dia selamba sahaja meluahkan isi hatinya. Di mata saya,
dia seorang gadis yang sepatutnya telah berstatus isteri dan ibu. Saya
benar-benar terkedu! Pengakuan beraninya memberi isyarat bahawa saya bakal
berdepan dengan drama berantaian slot Samarinda!
“Sewaktu di unit lama, saya pernah bekerja dengan rakan
sepejabat lelaki untuk satu projek. Waktu itu, saya fikir tiada alasan untuk
mengelak. Saya seorang professional. Fikiran saya silap. Amat benarlah nasihat
Rasulullah, jika berdua-duan dengan lelaki, maka syaitanlah menghasutnya.
Akhirnya, kami tertipu dan terlanjur menyintainya.” Wanita ayu ini rancak bercerita.
Seolah-olah kesal pun terpancar di riak wajahnya.
“Bakal suami
tahukah?”
“Bakal suami? Saya masih belum berpunya. Rata-rata kenalan
lelaki saya, bujang tiga.”
“Maafkan
saya. Saya tidak bermaksud untuk masuk campur urusan awak.”
“Tidak mengapa, saya hanya ingin meluahkan apa yang saya
tanggung selama ini. Tidak ada sesiapa yang boleh dipercayai. Dengan awak, saya
selesa berkongsi. Entahlah.”
“Bukankan
awak masih mempunyai ibu dan ayah? Mengapa tidak dikongsikan kepada mereka?”
“Mereka bercerai hidup. Saya tidak sanggup melihat ibu saya
bersedih. Cukuplah, pengorbanannya membesarkan kami berlapan.”
“Allahuakbar!
Saya yakin, ianya telah mematangkan awak. Keputusan pasti tidak mengecewakan
wanita lain.”
“Saya seperti menarik tali. Sejak akhir-akhir ini, dia
dingin terhadap saya. Kata cinta dan sayang. Dasar penipu! Sakit hati
mengenangkan dia.”
“Belum
masanya awak jumpa yang berkenan di hati. Setahun di unit baru, pasti ada yang
terpaut.”
“Lagi ramai kaki perempuan! Ngeri untuk bergaul. Tetapi saya
suka seseorang. Yang ini, sah bujang empat.”
“Baguslah.
Ada ke tidak maklum balas?”
“Mungkin susah. Dia berpangkat besar. Saya biasa-biasa
sahaja. Simpan dalam kolam hati pun cukup.”
“Awak rasa,
tidak salah menjadi isteri kedua? Macam kawan saya yang seorang ini.
Kadang-kadang, saya tengok dia bahagia. Selebihnya makin sengsara pun ada.
Buntu!”
“Tiada wanita yang sanggup berkongsi. Tanyakan hati, kita
sanggup atau tidak? Ini soal masa depan.”
“Itulah, usia saya ini bukan
bertambah muda. Biarlah duda daripada suami orang.”
“Awak rasa, saya ini cerewet sangat ke?”
“Bukan
cerewet tetapi berhati-hati. Insya-Allah, usaha tangga kejayaan.”
“Saya ada buat istikharah, tetapi macam tiada apa-apa
petanda.”
“Apa kata buat selama tiga bulan?
“Tiga bulan? Saya buat seminggu
sahaja. Patutlah tidak berkesan.”
“Bersedekahlah dan beristighfarlah. Moga ada perubahan dan
dipermudahkan.”
“Hebat idea awak! Tidak terfikir
soal itu. Bagus! Memang layak awak menjawat jawatan itu.”
“Bukan begitu. Itu hanya ikhtiar. Allah tidak melihat kepada
hasil, tetapi usaha kita.”
“Nanti saya
baiki istikharah saya. Mungkin ada kekurangannya.”
Saya cuba menjadi pendengar dan penyimpan rahsianya. Tidak
terlintas untuk berkongsi dengan orang lain demi menjaga aibnya. Kepercayaannya
pada saya, memadai kerana sememangnya saya bukanlah sempurna.
“Sesungguhnya Allah tidak melihat
pada penampilan luaran dan harta kamu, sebaliknya Dia melihat hati dan amalan
kamu.” – Terjemahan hadis Riwayat Muslim.
HAK CIPTA TERPELIHARA 2015 @ QALAM ARDINI
0 comments:
Post a Comment