Andai Rasul Masih Ada

“Bagaimana jika sempena Maulidur Rasul kali ini kita adakan di premis kita?”
“Tidak cukupkah, syarikat menghantar 100 orang wakil kontinjen?”
“Itu diperingkat kebangsaan. Kali ini kita meriahkan dengan hiburan Islamik. Bezanya, dihadiri oleh kakitangan syarikat.”
“Tentu memakan bajet besar. Mana kita hendak dapatkan dana? Tambahan, syarikat kita sedang tenat dengan krisis kewangan.”
“Lutfi, strategi pemasaran, pengiklanan atau penjualan itu boleh kita tiruvasikan. Ini sesuai jika dijadikan eksperimen. Yang beza, isi kandungan.”
            “Maknanya, kita war-warkan sambil mencari penaja? Ada yang berminat ke?”
“Insya-Allah, kita usulkan kertas kerja yang meyakinkan. Kita perlukan informasi dan kajian dari kakitangan lain untuk mohon pandangan.”
            “Banyak kerja Danish. Cukup ke tempoh yang diberikan? Kenapalah, Lutfi sanggup buat kertas kerja serumit ini? ”
“Syarikat kita ini perlu bangkit semula dan diberi semangat. Ianya tidak cukup sekadar latihan luaran. Ia wajar bermula dari dalam.”
“Bukankah pihak modal insan menyediakan khidmat latihan terperinci setiap tahun. Masih tidak cukupkah? Ini semua kos Danish.”
“Kita jadikan Malam Cinta Rasul di syarikat kita untuk mencetuskan akhlak Nabi. Kita lebihkan penekanan soal peranan dan amanah dari peringkat bawahan hingga atasan.”
“Mustahil! Danish pasti ke orang yang berkenaan akan turun padang?”
“Kita sertakan tentatif penuh program selama 2 jam itu. Kita wajibkan semua kakitangan atasan dan pengurusan terlibat. Mudah-mudahan, penglibatan mereka akan menjadi pemangkin kepada pekerja untuk sama-sama menjadikan syarikat ini sebagai ladang akhirat dan habuan dunia.”
“Selama ini pun, sudah macam-macam latihan luar dan dalam dibuat. Hasilnya, sama sahaja. Makin teruk adalah!”
“Kita akui perkara itu. Tetapi kita perlu bermula. Tidak semestinya kita ubah kesemuanya. Ada yang boleh dikekalkan, ada yang perlu ditambah baik. Yang penting, kajian perlu dilakukan dengan serius untuk membetulkan punca-puncanya.”
 “Danish, ini kerja perunding. Gaji kita berapa sen sangat? Setahun atau dua tahun pun, belum tentu siap.”
“Anggaplah ini jihad. Dulu kita tidak berpeluang. Sekarang bila ada kesempatan, kita transformasikan dan realisasikan.”
            “Lutfi perlukan tim yang komited. Tidak sanggup hanya pandai memberi idea tetapi orang lain yang qatamkan kerja.”
“Kita saring tim macam saring rancangan realiti. Tidak salahkan? Macam Danish katakan tadi, teknik sama tetapi isi kandungan yang berbeza ikut kesesuaian kita.”
            “Kenapalah Danish tidak buat kerja mudah? Ini kerja mencari masalah.”
“Dalam sirah, perjuangan Nabi lagi dahsyat. Subhanallah! Tengoklah hasilnya. Jika kita tidak contohi Nabi, inilah yang jadi pada syarikat kita.”
            “Itu kerja pendakwah. Kita ini kuli dan makan gaji sahaja. Biarlah syarikat ini hendak muflis ke kaya ke! Yang penting, cukup bulan Lutfi dapat gaji.”
“Lutfi, Nabi itu statusnya macam-macam. Ketua keluarga, pemimpin, imam, hakim, usahawan, ayah, sahabat dan pelbagai status sosial lagi. Ini baru peringkat mencari maklumat. Insya-Allah, bila kertas kerja siap sepenuhnya, Lutfi akan lebih faham dan jelas.”
            “Buat masa ini, Danish perlukan Lutfi dan mencari tim yang benar-benar selari fikrahnya bagi memastikan jihad kita terlaksana.”
“Danish, Lutfi tidak rasa mengubah manusia itu sekelip mata melainkan ada keajaiban.”
            “Itu benar Lutfi. Setidak-tidaknya, kita perlu bermula dan mencuba. Soal kertas kerja, tidaklah merisaukan saya. Cuma, ujiannya nanti di peringkat kelulusan dan persetujuan pihak atasan. Insya-Allah, bila mereka yakin, pasti berbaloi untuk pihak syarikat.”
“Mana-manalah Danish. Lutfi tolong mana yang mampu. Malam Cinta Rasul, Syarikat Berselawat. Okay tidak nama itu?”
            “Masya-Allah. Terbaik Lutfi! Macam sudah boleh baca pemikiran Danish sahaja.”
“Jika jadi, biarlah ianya berkat dan rahmat mencurah-curah. Masa itu nanti, hati-hati yang sertainya boleh difahamkan, diyakinkan apa matlamat kita dan ke mana hala tuju kita.”
“Wah Danish, macam selebriti!”
“Persepsi Lutfi. Ini bukan kerja selebriti atau tidak. Selebriti membawa insan kepada dirinya, tetapi dai’ membawa insan untuk kenal dan mengabdi diri kepada Sang Pencipta Yang Esa.”
            “Kita perkasakan akidah. Semarakkan qudwah hasanah Rasulullah untuk kita bangunkan semula syarikat ini. Insya-Allah, hanya dengan pemantapan iman, pemurnian niat dan keindahan akhlak, bukti cinta Rasul berbalas.”

“Sesungguhnya setiap amalan bermula dengan niat.” (Terjemahan Hadis Riwayat Muslim)  
Wallahua'alam.
HAK CIPTA TERPELIHARA 2015 @ QALAM ARDINI.


Share on Google Plus

About Unknown

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment