Hargai Aku Seadanya


Dahulu, ada seorang wanita yang hampir berputus asa. Dia ingin meninggalkan kediamannya. Dalam perjalanan, dia singgah di sebuah masjid. Ketika sedang mengambil wudhuk untuk mententeramkan diri, dia segera menunaikan solat sunat.
Dia termenung memikirkan nasib diri. Ketika itulah dia terpandang sepasang suami isteri warga emas. Yang menghairankan, kudrat isteri masih bertenaga membantu suami untuk duduk di kerusi rodanya.
Isterinya sangat gembira sewaktu menolak suaminya di atas kerusi roda. Pasangan ini bergurau senda persis sedang hangat di lamun cinta.  Perbualan mereka romantik seolah-olah tiada apa yang berlaku.
“Sekarang saya sudah tidak berdaya. Awak pasti malu. Dulu kita menaiki motosikal ke masjid,” tutur lelaki itu kepada isterinya.
“Awak masih putera mahkota yang bertahta di hati saya,” balas isterinya sambil menolak kerusi roda.
Tersedar kesan dari perbualan pasangan itu, dia telah memutuskan untuk pulang semula ke rumahnya. Dia nekad kembali semula ke pangkuan suami tercinta, berazam untuk menjaga suami yang kini terlantar kerana kehilangan kaki akibat diabetes.
Yang pasti, sedih hati lelaki bertukar menjadi gembira setiap kali dilayan mesra isteri. Dalam keadaan yang kurang upaya, isteri menjadi pendamping setia bagi merawat luka-luka di hati suaminya. Perhatian kini tertumpah sepenuhnya untuk sama-sama menempuh ujian hidup.
Kesakitan pada hati akibat kehilangan kaki ditempuh dan terubat. Sembuh kerana mendengar suara, melihat wajah isteri yang dikasihi dan layanan high-class menjadi kekuatan untuk meneruskan saki baki usia bersama.
Ini semua disebabkan dia mengambil pengajaran dari pemerhatian pasangan warga emas tadi. Walaupun sedikit, namun memberi kesan. Begitulah dirinya, walaupun permulaannya kecewa dan berputus asa tetapi kerana keinsafan dan kasih sayang yang dicipta bersama, dia belajar untuk tabah.
Inilah efek reda. Ia berkuasa menukar ilmu jadi amal, teori menjadi realiti dan kasih sayang mengeratkan ikatan. Tanpa sifat reda, wang, pangkat dan tahta sebanyak mana pun tidak akan bermakna.
Yang membezakan gagal dengan berjaya bukan usia tetapi sifat reda. Sesiapa yang lebih reda akan berjaya meskipun kaya atau miskin.
Sejarah telah membuktikan bahawa orang yang berjaya dunia akhirat itu di kalangan orang yang memiliki sifat reda. Justeru, untuk berjaya kita juga perlu memiliki karektor sebegini.
            Berbeza dengan pasangan yang sebelum bernikah. Katalah wanita itu tidak menutup aurat. Lelaki boleh menolak secara baik agar tidak memperisterikan wanita itu. Tanggapan lelaki tadi reda kerana tidak menutup aurat dan bakal memperisterikannya amat bertentangan dengan syarak.
            Perlu difahami, sikap reda sebegini bukanlah menganjurkan sikap malas berusaha dan berserah diri sepenuhnya kepada nasib. Ianya merupakan bisikan iblis untuk menyesatkan akal fikiran manusia.
Tidak ramai orang dapat berfikiran optimis jika hati tidak terdidik dengan sifat reda. Namun, ianya bukan mustahil untuk diraih, asalkan didasari dengan keyakinan teguh. Sifat rahmat-Nya kepada makhluk, pasti Dia telah tetapkan sesuatu yang terbaik buat hamba-Nya selain lambang keimanan sebenar.  
Dalam konteks yang sama, amat tepatlah saranan Nabi bahawa “Akan merasa kemanisan iman jika seseorang reda Allah sebagai tuhannya, Islam sebagai agamanya, dan Muhammad salallahu ‘alaihi wasallam sebagai rasulnya.”
Sifat fitrah manusia yang sering tergesa-gesa dan bimbang hanya boleh diurus dengan sifat reda. Perubahan yang drastik, meskipun ke arah kebaikan akan terhenti di tengah jalan jika tidak ada reda dan mujahadah.
Perjuangan meneruskan hidup walau dilanda musibah masih bertahan kerana stamina reda yang utuh. Hatinya sentiasa dihiasi ilmu dan amal bagi merangkul reda dengan ketentuan-Nya. Belajar untuk sentiasa tenang dan seimbang bagi menguruskan sikap reda.
 “Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.” – Surah al-Baqarah ayat 216.  
            Menjadi Mukmin membawa kita reda sentiasa, bukannya bermusim dan terhad pada tempoh masa tertentu.  Tanpa reda, bersiap siagalah untuk gagal dan kalah. Moga musibah menjadikan kita akrab dengan-Nya.

Sumber : AMSB | 2014



Share on Google Plus

About Unknown

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment