Hampir setiap tahun jabatan tempat Fajar bertugas mengadakan
jamuan tahunan. Ianya diadakan bagi memberikan pengiktirafan kepada para
pekerja cemerlang. Majlis tersebut turut dihadiri oleh ahli lembaga tertinggi
syarikat.
Fajar menggunakan kepercayaan yang diberi untuk merancang.
Baginya, biarlah majlis itu mempunyai pengisian bermanfaat. Idea komprehensif
Fajar beserta tentatif program disiapkan. Meskipun pelbagai kaum, ianya tidak
menjejaskan misi dan visi majlis jamuan tahunan.
Alangkah gembiranya Fajar kerana dapat berkhidmat dengan
sekretariat yang berpengalaman. Fajar tidak mensia-siakan mandat yang diberi.
Mesyuarat turut diadakan bagi meraikan pandangan. Keutamaan soal peranan setiap
secretariat diberi penekanan bagi merealisasikan majlis.
“Fajar, bagi sesi pemberian hadiah, Akif tidak bersetuju
untuk diberikan terjemahan al-Quran. Jika buku-buku agama atau ilmiah, itu
lebih relevan.”
“Tuan Akif, bukankah terjemahan al-Quran itu sumber rujukan
semua? Dalam rekod, kakitangan yang bukan Islam tidak lebih dari sepuluh
orang.”
“Benar Fajar. Nanti apa pula mereka fikir? Pada hemat Syabil,
ini isu agama dan sensitif.”
“Fajar, fikirkan akibatnya. Widad tidak mahu campur. Nasihat Widad,
lupakan Fajar.”
“Mengapa Tuan Akif, Syabil dan Widad bimbang? Bukankah kita
adakan cabutan awal? Hasil cabutan, baru beli hadiah?”
“Syabil dan Widad tidak setuju. Lebih baik diwakafkan di
surau-surau sahaja. Tidak cukupkah dengan hiburan seperti tahun-tahun
sebelumnya.”
“Fajar, pakaian sopan dan menutup aurat? Bosannya.”
“Kita cubalah. Belum cuba belum tahu.”
“Fajar, apa kaitan kerja dengan semua agenda majlis itu?”
“Berfikir di luar kotak. Sebelum terlupa, Fajar telah terima
panggilan daripada pihak hotel. Mereka tanya bila kita boleh adakan sesi lawatan
dan merasa makanan?”
“Semua okay ke kita pergi Selasa depan?.”
“Tuan Akif, anggaplah kami semua bersetuju.”
Semarak Syariat
Menurut Sayyid Qutub,
“Cinta kepada Allah bukannya dakwaan dengan lisan atau
bukannya kerinduan hati semata-mata, malah mestilah disertai dengan mengikuti
sunnah Rasulullah sallahu ‘alaihi wa sallam, berjalan mengikut hidayatnya dan
mengamalkan sistem hidupnya di dalam kehidupan. Keimanan juga bukan
kalimah-kalimah yang diucapkan dan bukannya perasaan yang berkobar-kobar dan
bukan pula syiar-syiar yang diada-adakan, tetapi keimanan itu ialah ketaatan
kepada Allah dan Rasul dan mengamalkan sistem hidup yang diatur oleh Allah dan
yang dibawa oleh Rasulullah.”
Sejak dinaikan pangkat di jabatan baru, Fajar tidak
terpengaruh dengan budaya kerja berqiblatkan kebaratan. Ianya telah menjadi
suatu tradisi jika memberikan buah fikiran Islamik, mereka pasti diprotes.
Walhal, Fajar melihat sendiri, bagaimana sukarnya mengurus konflik meskipun
sekecil-kecil perkara. Rata-rata pekerja belia yang memberikan pendapat, pasti
disangkal. Mujurlah, kami tidak putus asa dan sentiasa mencuba.
Pernah Fajar menyuarakan rasa hati kepada rakan sekerja,
mengapa jabatan membelanjakan jumlah yang besar untuk kursus dan latihan
kemahiran. Jika dinilai, pelaburannya tidak berbaloi. Majoriti daripada mereka
yang terpilih tidak memberi kesan kepada diri, tugas dan personaliti untuk
dijadikan tauladan.
Inilah yang membuatkan Fajar berfikir, dengan menghadiahkan
terjemahan al-Quran, dapatlah manfaat untuk jabatan. Mustahil Islam tidak
memberikan solusi terhebat dan terbaik. Sejak itu, Fajar hanya mampu membenci
di dalam hati. Inilah punca jabatan kita berpecah-belah dari sekecil-kecil
perkara hinggalah sebesar-besar perkara.
Fajar yakin, apabila Allah inginkan kebaikan bagi seseorang,
akan diilhamkan kefahaman di dalam agama. Ini adalah jaminan Allah dan dikukuhkan
oleh Rasulullah s.a.w. sebagai bukti teragung. Belakang parang, kalau diasah,
akan tajam juga.
Peri pentingnya ketika itu jika Fajar memiliki personaliti seperti
Rasulullah sallahu
‘alaihi wa sallam. Menurut al-Qadhi Iyyad,
“Baginda sallahu ‘alaihi wa sallam seorang yang tabah dan
cekal, seorang yang pemaaf walaupun berupaya membalas, sabar menghadapi segala
yang tidak disenanginya. Ianya adalah sifat-sifat luhur yang dengan sifat itu
Allah mendidiknya. Semua orang yang tabah, sebelumnya pernah diketahui ada
kegelinciran dan pernah terbabas daripada tindakan yang betul, akan tetapi
Rasulullah sallahu ‘alaihi wa sallam tidak begitu. Semakin bertambah gangguan
dan penyakit, maka semakin bertambahlah kesabarannya. Sikap orang jahil yang
keterlaluan terhadapnya hanya lebih menambahkan ketabahannya.”
Inilah kemahiran yang Fajar tiada
kerana baru memulakan kerja.
HAK CIPTA TERPELIHARA 2016 @ QALAM ARDINI.
0 comments:
Post a Comment