“Maafkan
saya Wafa. Tentang tawaran menjadi Bendahari Usrah Raudhah. Apa kata, Wafa tawarkan
kepada orang lain?”
“Damiya tak suka? Wafakan Pengerusi. Berhak memilih.”
“Urusan perlantikan ini
perlu telus. Para ahlinya bebas memilih calon yang terbaik. Kita ikut saluran
yang betul.”
“Wafa yakin, tidak ada
sesiapa yang berani pertikaikan. Lebih-lebih lagi, keputusan Pengerusi. Kenapa
ni? Damiya ada calon lain?”
“Wafa, selama ni orang lain menghormati
kelab Usrah Raudhah. Kewibawaan barisan kepimpinan yang sebelum ini, perlu kita
pelihara agar tidak tercalar. Ini soal amanah Wafa.”
“Damiya tidak
percayakan Wafa? Apa selama ini, kami berbuat zalim?”
“Bukan itu maksud Damiya. Tanyalah diri Wafa
sendiri. Yang penting, Damiya hanya berharap biarlah kehebatan dan keagungan
kelab Usrah Raudhah terus bersinar. Bukankah ianya sentiasa menjadi contoh
kepada kelab-kelab lain?”
“Maksud Damiya? Kami
menyeleweng?”
“Wafa, mana Wafa yang Damiya kenal dulu?
Mengapa tiba-tiba jadi begini?”
“Bukan
begitu. Cuma, Wafa hendak laksanakan beberapa pembaharuan. Wafa risau,
segelintir ahli, pasti tidak bersetuju.”
“Dapatkan buah fikiran dari semua pihak.
Insya-Allah, pasti berjaya. Yakinkan mereka.”
“Betul Damiya tidak
berminat?”
“Ya, muktamad. Maafkan Damiya.”
Jawatan, Derita atau Bahagia?
Apakah perasaan kita ketika diuji dengan
jawatan? Pernahkah kita muhasabah, adakah jawatan yang kita nikmati pada hari
ini, diperolehi secara halal atau haram? Tanyalah hati, adakah jawatan ini
membuatkan kita semakin dekat atau jauh dari Yang Esa?
Ada yang berpendapat,
jawatan adalah lambang kemuliaan. Memiliki jawatan atau kuasa boleh berbuat
sesuka hati. Baginya, ia suatu kebanggaan setelah bertungkus-lumus berusaha
mendapatkannya.
Mitos-mitos sebegini, akan
membawa derita buat pelakunya. Bagi Islam, memiliki jawatan tidak salah. Ianya dibenarkan. Bahkan
kita wajar menzahirkan kesyukuran dengan menggalas amanah itu ke arah kebaikan bersama menurut
acuan-Nya.
Setiap perkara dari
sekecil-kecil hal hinggalah sebesar-besar hal, pasti ada Pencipta beserta manual-Nya.
Ibaratnya, novel. Terhasilnya senaskah novel kerana komitmen pengarangnya.
Usaha gigih pengarang, turut dibantu oleh editor dan timnya. Setelah itu,
pengarang mempromosikan agar boleh dimanfaatkan oleh pembaca.
Begitulah juga dengan
jawatan. Jawatan yang disandang adalah bertujuan untuk melaksanakan amanah dan
tanggung jawab. Kepimpinan melalui tauladan menjadi keutamaan bagi memastikan
objektif tercapai.
Sirah adalah dalil yang
wajar dijadikan pedoman. Pastilah Rasulullah s.a.w. ahli keluarga baginda dan
para sahabat, ikon yang tepat untuk dirujuk. Keunggulan dan kehebatan
Rasulullah s.a.w. diperakui dunia, termasuk yang bukan beragama Islam.
Sikap dan akhlak Rasulullah
s.a.w. masih relevan kerana ianya mesra ummah. Antaranya termasuklah sistem
pemilihan telus. Calon mestilah memiliki ciri-ciri pemimpin, berakhlak mulia,
berjiwa tawaduk, bijak menangani isu serta kuat bergantung kepada Allah selain
berbuat baik sesama manusia.
Mahu atau tidak, dia
memiliki akidah yang mantap. Kenapa? Kerana dia berusaha merealisasikan
perjuangan tauhid tanpa mengorbankan niat asalnya. Ketrampilan yang meyakinkan orang
lain pasti terpancar setelah mentaati Allah, Rasul, ibu bapa dan para pendidik.
Di samping itu, menghormati dan meraikan pandangan orang lain.
Yang pasti, tanyalah hati, adakah
jawatan itu mendapat rahmat atau mengundang murka Allah Yang Esa? Ketahuilah, semuanya
itu pasti disoal apabila kita kembali bertemu Allah kelak.
“Ya
Allah, bukakanlah jalan untuk kami dalam memudahkan setiap urusan yang sukar,
kerana memudahkan setiap yang sukar itu amat mudah bagi Kamu. Ya Allah,
permudahkanlah kami segala urusan kami, serta kurniakanlah ketenangan di dalam
hati kami dan kesihatan pada tubuh badan kami, keselamatan dan kesihatan pada
agama kami dan dunia kami.”
Realitinya, jika kita
dianugerahkan jawatan, ikutilah Rasulullah s.a.w. Selain itu, contohilah para
khulafah ar-Rasyidin atau Umar Bin Abdul Aziz, bagi mengulangi kegemilangan dan
kecemerlangan bagaimana memakmurkan bumi. Moga negara kita berterusan dipayungi dengan
pemeliharaan-Nya dan dirahmati-Nya.
“Bertakwalah
kamu kepada Allah SWT di mana sahaja kamu berada. Dan susulilah keburukan
dengan kebaikan, kerana sesungguhnya kebaikan akan menghapuskan keburukan. Dan
berakhlaklah dengan manusia dengan akhlak yang mulia.”
(Terjemahan Hadis Riwayat
At- Tirmizi dan Ahmad).
Wallahua'lam.
0 comments:
Post a Comment