Bekerja di jabatan baru tanpa seorang kenalan,
membuat Wasim segan. Dia banyak menghabiskan masa terluang mencari informasi
tentang tugasan barunya. Rata-rata serius dan sibuk dengan tugasan
masing-masing hingga Wasim enggan bertanya.
Taklimat dari seorang Pengurus bulan lepas,
sedikit sebanyak dapat merungkai kemusykilannya. Sewaktu taklimat, ianya
dihadiri tiga orang. Seorang dari Jabatan Keselamatan dan seorang dari Jabatan
Kejuruteraan. Jumlahnya tiga orang termasuk Wasim. Kami melapor diri pada Julai
2001.
Setelah
hampir tiga tahun, dua orang pekerja dari Jabatan Kewangan diperkenalkan kepada
kami. Seorang memakai hijab labuh dan seorang tidak berhijab. Yang pasti,
mereka berstatus isteri dan ibu. Wasim masih solo ketika itu.
“Wasim, kenalkan ini Puan Iffah dan Puan Syahzani.”
“Tahniah Puan! Selamat mengembara bersama ahli
keluarga kami.”
Perkenalan
itu diiringi oleh Ketua Setiausaha. Mereka dibawa dari satu tempat ke satu
tempat bagi mengeratkan silaturahim. Wasim menyambut salam perkenalan dengan senyuman
penuh ceria.
“Puan
Zulfah, tambah meriahlah keluarga kita.”
“Betul. Nanti, Wasim boleh rujuk mereka berdua.
Mereka akan jaga cuti, tuntutan perjalanan dan hal-hal pentadbiran.”
“Wah!
Bertuahlah Puan Zulfah, sudah ada pembantu. Sekali dua orang.”
“Inilah Wasim. Kuat menyakat. Sesekali, terhibur
dengan celotehnya.”
Dai’ Separuh
Masa
Puan Zulfah adalah Ketua Setiausaha kepada
Pengurus Besar Kanan Audit Dalaman. Seorang yang tegas tetapi peramah. Dia
profesional dalam semua segi. Kami senang berurusan dengannya. Mengenakan hijab
hanya di bulan Ramadan sahaja. Dialah orang yang pertama Wasim temui sewaktu
menjejakkan kaki ke jabatan ini.
Setelah
beberapa bulan, Puan Iffah menghampiri Wasim. Rata-rata rakan sekerja lain menyenangi
kehadirannya. Yang membezakan kami, hanyalah penampilan. Wasim lebih selesa
mengenakan hijab tetapi tidak selabuh Puan Iffah.
Suatu hari, Puan Iffah datang kepada Wasim. Waktu
itu, tidaklah sibuk. Kebetulan Wasim tidak bertugas di luar pejabat. Sebelum
ini, Wasim hanya bicara soal kerja di kalangan rakan sekerja. Tidak lebih dari
itu.
“Wasim, perasan atau tidak apa yang Puan Iffah
nampak?”
“Tidak
pula. Apa yang Puan Iffah maksudkan?”
“Dalam ramai-ramai, dua orang hamba Allah ini
belum berhijab. Wasim sedar atau tidak?”
“Bukankah Puan Zulfah berhijab hanya di bulan
Ramadan. Insya-Allah, kita doakan dia berhijab selama-lamanya.”
“Bagaimana dengan Puan Syahzani? Tengok gaya,
solat tetapi sayang, tidak berhijab.”
“Puan Iffah ada idea?”
“Hendak ditegur, mereka ada suami. Serba-salah
rasanya.”
“Pasti suami dan insan-insan tersayang mahukan
wanita kecintaan mereka berhijab.”
“Mungkin. Kenapa masih belum berhijab? Tidak
takut dosakah?”
“Apa kata Puan Iffah buat sesuatu. Wasim dengar,
Puan Iffah digelar ustazah.”
“Wasim, berilah idea bernas.”
“Wasim cadangkan, Puan Iffah hantar emel
berkaitan aurat. Usah ditegur depan khalayak, malulah mereka.”
“Wasim ada artikel atau rencana pasal aurat? Saya
sudah cari, tetapi tiada dalam simpanan.”
“Cuba Puan Iffah dapatkan dari rakan-rakan lain?
Mungkin mereka masih simpan.”
“Jika ada, Wasim emel kepada satu jabatan,
boleh?”
“Bukankah, lebih manis ianya dari Setiausaha? Tiada
apalah. Insya-Allah, mereka faham.”
“Seperkara lagi, ada juga sahabat kita yang
melengah-lengahkan solat. Risaulah.”
“Puan Iffah hantar emel berasingan untuk ingatkan
mereka. Wasim suka orang ingatkan hal agama. Biasalah, Wasim pun kadang-kadang
terbabas juga.”
“Wasim tolonglah. Nanti, Puan Iffah akan cetak
dan tampal di papan buletin surau.”
“Baiklah! Sokong tanpa bantahan.”
“Orang serius, dia main-main pula,”
“Wasim seriuslah. Usahlah risau, mereka pasti
boleh terima. Daripada tidak buat apa-apa. Inipun di kira amal soleh.”
“Mereka itu semua berpelajaran tinggi, sayanglah
bab Agama tercicir.”
“Bukan
semuakan? Ada juga yang warak, ‘alim dan dai’ separuh masa.”
“Betulkah? Siapakah mereka?”
“Itu
Puan Iffah kena siasat sendiri. Yang pasti, bukan Wasim.”
Wasim telah bertugas di cawangan Che Siti Wan
Kembang selama dua minggu. Wasim telah ditemani oleh tiga orang lagi rakan
sekerja termasuk Pengurus. Kesempatan di ambil untuk membeli-belah di pasar
Siti Khadijah.
Sekembalinya ke pejabat, Wasim telah
menghadiahkan tiga helai tudung bawal kepada setiausaha yang masih belum
berhijab. Waktu itu, Puan Zulfah telah mengambil tawaran skim pampasan.
Khabarnya, beliau telah berhijab sepenuhnya sekembali dari menunaikan umrah.
“Dan
kembalilah kamu kepada Tuhan kamu dengan bertaubat serta berserah bulat-bulat
kepada-Nya, sebelum kamu didatangi azab. Ini kerana, sesudah itu kamu tidak
diberikan pertolongan.”
[Terjemahan Az-Zumar ayat 54]
HAK CIPTA TERPELIHARA 2015 @ QALAM ARDINI
0 comments:
Post a Comment