Maafkan Demi Ketenangan

Arif seorang pekerja yang rajin dan berwibawa. Dia tidak memiliki kelulusan yang tinggi seperti rakan sekerja yang lain. Namun, ianya bukan alasan dan penghalang untuk gigih berusaha. Arif sedang mengambil pengajian secara separuh masa di sebuah universiti terkemuka.
Rata-rata seluruh jabatan mengenalinya kerana sikapnya yang disenangi ramai. Arif disegani dan dihormati. Masanya dimanfaatkan untuk perihal kerja. Jauh dari perkara peribadi. Adanya disukai dan tiadanya dicari. Komunikasi bila perlu. Wajarlah, orang lain selesa bekerjasama dengannya.
Arif diumpamakan seekor lebah daripada makanan yang baik lalu menghasilkan sesuatu yang baik. Apabila hinggap ke atas bunga-bungaan, tidak pernah merosakkan kecantikan bunga itu. Allah telah memberikan sikap ihsan seperti yang Nabi s.a.w. pamerkan.
Jika dia seorang sahabat, dia mengasihi saudara yang lain. Jika dia seorang anak, sangat taat kepada kedua orang tuanya. Jika dia seorang pelajar, komited dengan pengajiannya. Jika dia seorang pekerja, berdedikasi dan bertanggungjawab.
Arif seorang yang aktif bersukan. Arif juga terlibat dengan program sukarelawan. Masa Arif terisi dengan aktiviti kebajikan termasuk mendengar kuliah di surau tempatnya bekerja. Keramahan dan kesantunan Arif membuatkan ramai mengaguminya.
Kebijaksanaan dan kecerdasan Arif tidak disenangi oleh segelintir pihak. Pujian yang terbit menambah kedengkian mereka. Mereka telah berpakat untuk menjatuhkan Arif kerana cemburu dan rasa iri hati.
 Pernah mereka memburukkan Arif soal kerja berkumpulan. Arif tidak pandai, lewat menghantar kerja dan banyak melakukan kesalahan yang diamanahkan. Mereka membuat persepsi, hingga ada yang terpengaruh. Akibatnya, tercetuslah konflik.
Kerana Maghfirah Akhirat
Sewaktu berkursus selama seminggu, pembahagian kumpulan telah dilakukan. Pihak sekretariat telah membuat pembahagian yang berat sebelah. Pekerja yang dirasakan berpotensi dikumpulkan menjadi satu kumpulan. Arif hanya diletakkan dengan pekerja yang kurang menyerlah di mata pihak penganjur.
Arif tidak patah semangat. Arif berazam untuk mencabar dirinya. Kerja itu memerlukan komitmen dan muafakat. Mustahil ianya dapat dilunaskan dalam tempoh yang singkat. Ahli kumpulannya tiada perpaduan kerana sikap ego serta pentingkan diri sendiri. Namun, Arif berjaya menyelamatkan maruah kumpulannya.
Hari terakhir kursus telah menyatu-padukan kumpulan Arif. Meskipun dihambat selisih faham, Arif masih optimis. Arif telah menghantar kerja bercetak kepada sekretariat mewakili kumpulannya. Hatinya bersyukur. Kumpulannya berjaya menyiapkan tugasan dalam tempoh yang ditetapkan.
Majlis penutup telah diraikan dengan prestij dan suasana gilang-gemilang. Arif dan kumpulannya telah dinobatkan sebagai Juara. Kemenangan itu telah melupakan spekulasi serong terhadap diri Arif. Sejak kemenangan itu, rakan sekerja masih tidak menyedari kesalahan mereka.
Kejayaan Arif telah menyedarkan rakan sekerja yang profesional dan berpendidikan tinggi. Rata-rata yang iri kepadanya ialah pekerja lama. Meskipun, perihal Arif menjadi buah mulut di jabatannya, Arif tetap bersangka baik kepada Yang Maha Esa.
Bahagia Dengan Kemaafan
Sewaktu majlis perpisahan Arif, jamuan ringan telah diadakan. Meskipun majlis itu ringkas, ianya cukup bermakna baginya.
“Bismillah. Assalamua’alaikum warahmatullah. Yang dimuliakan Tuan Pengerusi Majlis, Tuan Branson, selaku Ketua Jabatan, Tuan Firas, selaku ketua unit, Tuan Affan serta rakan sekerja yang dirahmati Allah sekalian.
Sewaktu menjejakkan kaki di syarikat ini, Arif tidak berhasrat untuk mencari kerja lain. Di sinilah Arif mencari rezeki. Lima tahun di sini, melakar kejayaan tanpa diduga. Terima kasih semua kerana Arif dididik oleh orang hebat dan mulia.
Melantik Arif selaku sekretariat, mengenal erti sabar, memaafkan, menahan amarah dan meraikan pandangan orang lain. Biarpun pelbagai kritikan, namun ianya dapat direalisasikan.
  Terima kasih Tuan Firas dan Tuan Affan. Arif akui, segala ilmu, nasihat serta teguran akan menjadi obor untuk Arif lebih berdikari. Arif amat menghargainya. Terima kasih semua yang mendokan seadanya.
Mohon maaf di atas segala kekurangan diri sepanjang berkhidmat. Arif tinggalkan hadis Nabi sebagai inspirasi bersama.”
“Tiga perkara siapa yang memilikinya nescaya Allah lindunginya di bawah lindungan-Nya, menebar ke atasnya rahmat dan memasukkan ke dalam syurga-Nya iaitu ketika diberi dia berterima kasih, ketika dia berkuasa dia memaafkan dan ketika dia marah dia menahannya.”
Usai majlis, Tuan Firas dan Tuan Affan mendakapnya erat sambil bersungguh-sungguh memohon maaf.
Istiqamah bersangka baik. Petua inilah yang sering diingatkan oleh ibu dan ayah Arif. Walaupun pelbagai kata-kata kurang enak mengenai dirinya, Arif abaikan selagi dia sendiri tidak mendengar atau melihat sendiri. Setelah itu, Arif tapis, ujikaji dan muhasabah. Jika benar, perbaiki. Jika tidak benar, jauhi tanpa membalas biarpun Arif di pihak yang benar.

HAK CIPTA TERPELIHARA 2015 @ QALAM ARDINI.



Share on Google Plus

About Unknown

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment