Ramadan Memahat Taqwa


“Insya-Allah, puasa nanti jemputlah iftar di rumah Haura.”
          “Apa yang istimewa Haura?”
“Belanja iftar. Lepas Maghrib, kita solat jemaah di masjid.”
“Bagaimana dengan rakan lain?”
“Baru merancang. Jika ada sambutan, Haura jemput beserta tentatif program.”
          “Insya-Allah. Ramai ke yang Haura undang?”
“Terbuka untuk 25 orang setiap hujung minggu. Boleh tempah tarikh. Ikut kelapangan sahabat sekampus.”
“Boleh tak, ajak kawan sehostel atau sahabat lain?”
“Boleh. Asalkan tempah awal-awal.”
“Adakah kami wajib sertai semua slot seperti tentatif nanti?”
“Tidak semestinya. Mereka bebas buat pilihan. Keutamaan akan dirai kepada para sahabat yang ikut dari awal hingga akhir slotlah.”
”Nanti, boleh kita mengaji al-Quran bergilir-gilir.”
“Itupun sebahagian daripada tentatif Haura. Ada yang mahir, kita akan kenal pasti. Kita cungkil bakat para sahabat yang ada skil dan kemahiran.”
“Skil dan kemahiran? Maksud Haura?”
          “Siapa yang pandai mengaji, ajar mengaji. Siapa yang pandai memasak, ajar memasak. Siapa yang pandai bisnes, ajar bisnes.”
“Wah! Jika ada skil lain, bolehkah kongsikan juga?”
“Dialu-alukan. Ini sampel borang yang wajib diisi. Boleh tambah, mana yang patut.”
          “Masya-Allah!”
“Bukankah konsep ibadah itu luas?”
“Setuju! Nurania rasa, ini peluang terbaik untuk sakan beribadah.”
“Soal idea Haura, Nurania akan promosikan. Bab poster, boleh minta tolong dengan Dayana. Dia pakar.”
“Bagaimana jika ada yang berhajat mewakaf makanan atau minuman?”
“Kita raikan mereka. Haura pasti, para sahabat lebih alim dan fakih dalam apa jua lapangan. Kita himpun bersama sebagai pencetus. Biarlah nikmat Ramadan ini, kita gilap berjemaah. Taqwa, itu fokus kita.”
“Harapnya, tempoh sebulan itu dapat mendidik hati mencapai taqwa. Taqwa pula, biarlah istiqamah hingga hujung usia. Manalah Haura dapat idea begini?”
“Alhamdulillah. Travelog Ramadan ini telah lama dirancang. Sayangnya, asyik tertangguh kerana pelbagai kekangan.”
“Tidak mengapa. Niat itu pun sudah ada sahamnya. Jadi atau tidak, itu nombor dua.”
“Terima kasih Nurania.”
“Bilangan 25 itu adalah permulaan dan sasaran. Jika kurang sambutan, 5 orang pun memadai.”
“Insya-Allah. Haura pasti berjaya. Moga dapat direalisasikan dan ada keberkatan.”
“Nurania harap, sahabat kita yang lain boleh sertainya.”
“Haura akan buat tentatif penuh. Biar mereka pilih slot mana yang mereka minat. Ada membaca al-Quran, zikir munajat, qiyam dan sunat Terawih berjemaah.”
“Selain itu, ada slot memahami isi kandungan al-Quran. Boleh juga ada slot biskut raya, juadah iftar, sahur atau bisnes. Ulang kaji pelajaran kita buat sepertiga malam selepas solat sunat Tahajud.”
“Ya Allah, engkau permudahkanlah semua urusan kami. Terimalah amal ini sebagai tanda syukur kami kepada Engkau.” Bisik Haura.
Travelog Ramadan.
 Apakah persiapan kita setiap kali sambut Ramadan? Ada yang ulangkaji seputar Ramadan. Ramadan, bulan terbaik dari seribu bulan. Apapun, pastikan kita menyusun diari atau rutin agar bermanfaat.
 “Salam Ramadan! Ahlan wa sahlan wa marhaban ya Ramadan! Moga Allah bantu kita sekeluarga beramal soleh dengan jayanya!”
Begitulah, penzahiran kita setiap kali bertemu Ramadan. Kasihnya kita menyambut Ramadan, dirai walau hanya dengan ucapan. Ianya siren untuk kita gembira dengan berlumba-lumba memperbaiki ibadah wajib dan membanyakkan ibadah sunnah.
Juadah sambal goreng, bubur lambuk, tauhu sumbat dan air nenas adalah kemestian setiap kali bertemu Ramadan al-Mubarak. Hidangan yang sederhana ini menjadi rebutan kerana seharian menahan lapar dan dahaga. Mulalah adik-beradik membantu ibu dalam urusan dapur bergilir-gilir.
Giliran berkemas sewaktu iftar dan sahur, ada kalanya culas kerana pelbagai kerenah. Maklumlah, waktu itu masih bergelar kanak-kanak sepenuh masa. Apapun, asam garam sebegitu berbalas pahala kerana yakin dengan janji-janji Pencipta.
Ramadan buat kami, mengaji al-Quran dan solat sunat Terawih. Saf kami strategik. Berhadapan tiang, bawah kipas dan sebelah kanan ialah seorang warga emas. Tujuh tahun kami berkubu disitu.
Inilah misi utama kami bersama keluarga tercinta sewaktu penulis kanak-kanak hingga remaja. Kenangan ini, tidak pernah luput dari lubuk hati kami. Usai melunaskan 23 rakaat, bunga api memeriahkan halaman rumah kami adik-beradik.
Mikraj Ramadan.
Ramadan al-Mubarak. Semua amalan baik ada potensi meraih pahala. Syarat utama, mengikut sunnah Rasulullah s.a.w. Jika benar akidah-Nya, syariah acuan-Nya dan akhlak mulia kesan ibadahnya, apa lagi yang kita harapkan selain reda Allah?
Mustahil tetapi ianya perlu digilap dan diperkasakan. Bagaimana?
Mari kita sambut Ramadan dengan taubat nasuha kepada Allah. Ikhlaskan diri agar kembali mengabdikan diri berbuat ketaatan. Berazam untuk memperbaiki diri secara dalaman dan luaran.
Setelah itu, bersedia bersungguh-sungguh untuk mendirikan ibadat puasa, solat berjemaah, solat sunat Terawih, membaca al-Quran, berzikir, bersedekah, berdoa, qiyamulail, iktikaf di masjid, belajar dengan tekun, bisnes gaya Nabi serta bekerja dengan wibawa dan amanah.
Puasa ada 3 kelas. Kelas atasan, puasa zahir dan batin. Ini puasa orang hebat. Puasa seluruh pancaindera seperti hati, mata, kaki, tangan, mulut, perut dan anggota lain. Ini puasa orang yang berilmu, beramal dan yakin dengan hadis Nabi s.a.w.,
“Sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan, mengharap balasan daripada Allah, diampunkan dosa-dosanya yang lalu.”
Puasa pertengahan, kelasnya lebih bawah dari kelas atasan. Jika kita puasa, adakala kita seperti puasa zahir dan batin. Namun, lebih cenderung untuk lalai gara-gara nafsu kita seperti marah, buruk sangka, iri hati, berdusta, curi tulang, berdendam, atau sifat mazmumah lain. Usahakan untuk sibuk beramal soleh bagi membawa hati ke puasa kelas atasan.
Bagi puasa kelas bawahan, misinya hanyalah menahan lapar dan dahaga. Ianya sesuai bagi ibu bapa yang dalam proses mendidik anak. Jika kita berada di kelas puasa ini, hadiri majlis ilmu. Ketauilah, puasa ini membantutkan status kita merangkul taqwa.
 Menjadi taqwa itu manusiawi. Ianya terindah, bukannya bermusim. Jauh dari tempoh atau masa tertentu. Tanpa taqwa, bersiap siagalah untuk hina dina. Moga Ramadan memahat taqwa. Amat benarlah wahyu-Nya,
“Wahai orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan atas orang sebelum kamu. Semoga kamu bertaqwa.”
[Terjemahan surah al-Baqarah, ayat 183] 
Wallahua’lam.

Share on Google Plus

About Unknown

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment